ALOR SETAR - Gara-gara taktik DAP yang menggunakan cara mencetus kemarahan rakyat di negara ini telah menyebabkan MCA dan masyarakat Cina menjadi mangsa apabila dipandang serong khususnya di kalangan bangsa Melayu.
Timbalan Pengerusi MCA Negeri Kedah, Dr Leong Yong Kong berkata, taktik DAP itu telah berjaya mencetus kebencian rakyat kepada isu-isu sensitif di negara ini dengan memberi fokus terhadap kepimpinan Barisan Nasional, terutama UMNO dan MCA.
"Keadaan politik masyarakat Cina kini jadi semakin tegang sebab cara DAP berpolitik hari ini. Sebab DAP kini sedang menggunakan cara propaganda menghasut, menimbulkan rasa benci rakyat terhadap pemimpin. Mereka fokus kepada pemimpin BN, terutama pemimpin UMNO dan MCA.
"Mereka bawa macam-macam isu, Anwar, Rafizi dan Tony Pua contohnya gunakan strategi bongkar-bongkar, sama ada betul atau tak betul faktanya, mereka gunakan propaganda ini untuk hasut dan timbulkan perasaan benci rakyat.
"Ini ada kesan kepada semua masyarakat, sama ada orang Melayu atau bukan Melayu," katanya kepada Kedahnews.com dalam satu wawancara khas, baru-baru ini.
Selain itu, Dr Leong turut menjelaskan bahawa tentera siber DAP yang dikenali sebagai gerombolan "Red Bean Army" juga menggunakan pendekatan yang sama dan memaki hamun di media sosial yang lebih mengeruhkan keadaan.
"Mereka punya 'red bean army' pun dok maki-maki dalam media sosial. Jadi, secara semula jadi akan menimbulkan reaksi negatif masyarakat," katanya kesal dengan apa yang berlaku.
Bagaikan tidak cukup mengapi-apikan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini, beliau kesal apabila DAP turut mencetus kemarahan orang PAS setelah kedua parti itu bergaduh dan berpecah sejak akhir-akhir ini.
Katanya, kepimpinan DAP sengaja mengherdik PAS dengan menimbulkan isu dan provokasi politik terhadap parti Islam itu sehingga menyebabkan ramai penyokong PAS yang marah pada kaum Cina di negara ini.
"Lagi teruk lagi selepas DAP bergaduh dan berpecah daripada PAS, depa maki hamun PAS pula. Depa cari jalan sedaya upaya untuk jatuhkan imej PAS pula di mata rakyat. Mereka hentam teruk-teruk pemimpin PAS," ujarnya.
Dr Leong menegaskan bahawa MCA tidak pernah mengamalkan pendekatan sebegitu dan amat menghormati sensitiviti kaum dan agama di negara ini.
Namun begitu, beliau kesal kerana DAP tidak menghiraukan soal berkenaan dan sanggup memperkenalkan budaya yang tidak sihat pada masyarakat di negara ini sehingga masyarakat Cina turut terkesan dengan permainan politik tidak wajar berkenaan.
Memburukkan lagi keadaan, propaganda DAP ini juga telah menyebabkan bangsa Melayu di negara ini marahkan masyarakat Cina, sekaligus mampu mencetus krisis perkauman di negara berbilang kaum ini.
"Kebetulan pula majoriti kaum dalam DAP itu semua kaum Cina, bukan? Orang Melayu pula bukannya boleh bezakan antara penyokong Cina DAP dan Cina MCA. Kerana strategi DAP ini, orang Cina MCA pun dipandang serong oleh orang Melayu.
"Jadi sekarang ini MCA tersepit. Tidak kiralah sama ada orang Melayu yang cenderung kepada UMNO mahupun PAS, semuanya marah pada kaum Cina. Depa benci orang Cina kerana taktik DAP, dan orang Cina MCA turut menjadi mangsa," jelas beliau.
Kata Dr Leong, gara-gara sikap buruk DAP itulah maka para pemimpin MCA menggesa supaya masyarakat di negara ini khususnya bangsa Melayu supaya tidak terjerat dengan strategi jahat DAP tersebut dan tidak membiarkan diri terpengaruh dengan propaganda mereka.
"Kami bertungkus-lumus menjelaskan bahawa orang Cina tidak wajar mengikut budaya yang diperkenal DAP itu, dalam masa yang sama kami juga terpaksa berdepan dengan kemarahan bangsa Melayu yang mungkin menganggap kami ini orang DAP.
"MCA tersepit, kami orang Cina jadi mangsa DAP sebenarnya. Namun kami tidak putus asa. Kami sedang mempergiatkan lagi penerangan kepada rakyat tentang taktik DAP ini kepada semua masyarakat di negara ini," jelas beliau lagi. - Kedahnews.com