EKSKLUSIF: Mukhriz, Ahmad Bashah Dari Kaca Mata Masyarakat Cina Kedah


ALOR SETAR - Wujud perbezaan ketara di antara corak pentadbiran dua Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berbanding Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dari sudut kaca mata masyarakat Cina di negeri ini.

Timbalan Pengerusi MCA Negeri, Dato' Dr. Leong Yong Kong berkata, perbezaan paling ketara antara kedua pemimpin yang telah dan sedang mengemudi kerajaan negeri itu adalah merujuk kepada tahap pengalaman dan kematangan yang mencorak pendekatan mereka terhadap rakyat di negeri ini.

Tidak menolak populariti Mukhriz di kalangan rakyat khususnya golongan muda, namun Dr Leong menegaskan bahawa Ahmad Bashah yang merupakan anak jati negeri Kedah lebih memahami keperluan, kehendak, praktikal dan bertindak realistik demi rakyat di negeri ini.

Menurut beliau, sebagai manusia biasa, dua tokoh pemimpin itu masing-masing memiliki kelebihan dan kelemahan, namun wujud perbezaan ketara antara keduanya.


"Perbezaan itu memang ketara.

"Pada masyarakat Cina, mereka berpandangan bahawa Datuk Seri Mukhriz dia masih terikut-ikut lagi dengan persepsi yang mengatakan orang Cina tidak memberikan undi pada Barisan Nasional (BN), tak sokong BN..

"Termasuk di kawasan dia, walaupun orang Cina tak ramai di sana tapi dia tidak dapat undi yang memuaskan dari masyarakat Cina. Masa dia jadi Timbalan Menteri, masa dia dicalonkan di sana pun memang dia kurang dapat undi dari orang Cina.

"Ketika itu memang ada sentimen dalam UMNO yang mengatakan orang Cina tak beri undi pada BN," katanya kepada Kedahnews.com mengimbas kembali

Namun begitu, tindakan Mukhriz yang seterusnya membuat membuat masyarakat Cina kembali menilai keperibadian dan kepimpinannya yang dilihat kurang matang kerana terbawa-bawa dengan sentimen tersebut serta menunjukkan emosi negatif.

"Dia ketika itu masih lagi terikut-ikut dengan emosi itu walaupun sudah dilantik sebagai Menteri Besar. Dia masih tidak terbuka," katanya.

Tegas Dr. Leong, sebagai seorang pemimpin kepada rakyat, Mukhriz tidak sepatutnya tidak terbawa-bawa dengan emosi dan sentimen khususnya selepas diberi amanah untuk mentadbir sebuah negeri yang terdiri dari pelbagai kaum di negeri Kedah.

Kata beliau, walaupun kaum Cina merupakan adalah minoriti berbanding bangsa Melayu di Kedah, Mukhriz tidak wajar mengenepikan orang Cina kerana dendam tidak memberi undi padanya pada PRU yang lalu.

"Dia masih lagi berfikiran sempit. Bukan dia saja rasa pahit, saya lebih pahit lagi. Tan Sri Chor (Chee Heung), saya dan semua kepimpinan MCA kerja keras bantu rakyat, itu pun orang Cina masih lagi tidak beri undi pada BN ketika itu.

"Tapi kita kena ketepikan perasaan itu. Walau pun pahit, kita perlu adil beri khidmat selepas diberi mandat oleh rakyat Kedah. Sama ada beri undi atau tidak, kita pemimpin perlu beri khidmat tanpa pilih kasih," katanya kesal dengan ketidakmatangan Mukhriz.

Namun begitu, Dr. Leong akur dengan kelemahan Mukhriz itu ekoran bekas Menteri Besar itu mungkin kurang dari sudut pengalaman sebagai seorang pemimpin dan tidak dapat menyingkirkan emosi negatif terhadap kaum Cina di Kedah.

"Mungkin dia kurang pengalaman dan masih muda lagi dalam memimpin masyarakat di bawah sana. Dia terbawa-bawa lagi dengan emosi. Itu paling ketara," ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Dr Leong menjelaskan bahawa hampir semua kelemahan yang ada pada Mukhriz itu tidak wujud dalam diri Ahmad Bashah yang merupakan anak jati di negeri Jelapang Padi ini.


Jelas beliau, Ahmad Bashah amat kaya dengan corak kehidupan dan budaya orang Kedah ekoran sejak dari kecil lagi tidak pernah meninggalkan kawasannya dan hidup bergaul bersama tanpa mengira kaum, keturunan, pangkat dan agama, dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Berbanding dengan Datuk Seri Ahmad Bashah, beliau memang sudah banyak pengalaman. Beliau tinggal dan sering berada di kawasan. Beliau kecil sehingga kini, dia memang bergaul dengan semua masyarakat dan kaum. Beliau sudah lalui banyak kali pilihan raya.

"Jadi beliau lebih banyak kelebihan. Beliau lebih cepat menyesuaikan diri. Walaupun pahit bila orang Cina tidak beri undi pada BN, tapi bagi Datuk Seri Ahmad Bashah, beliau dilihat menggunakan pendekatan lebih berlapang dada.


Jelasnya, Menteri Besar merupakan jawatan berat yang diamanahkan Pengerusi BN untuk memberi khidmat kepada rakyat Kedah, namun Ahmad Bashah berjaya menjalankan tugas tersebut dengan lebih baik dan matang walaupun menghadapi rintangan.

Kontroversi melanda kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah apabila 14 Ketua UMNO Bahagian dari jumlah keseluruhan 15 UMNO Bahagian sepakat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menukar Menteri Besar Kedah ekoran mereka hilang keyakinan terhadap Mukhriz.

Kemelut politik Kedah itu semakin membarah apabila Jemaah Pemangku Sultan Kedah mendapati majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri telah hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, sekaligus memutuskan beliau perlu melepaskan jawatan tersebut.

Namun begitu, sebelum Mukhriz meletak jawatan Menteri Besar, beliau sempat memperguna Stadium Darul Aman untuk tujuan meraih sokongan politik dari peminat fanatik bola sepak Kedah, sekaligus mencetus kebencian mereka terhadap Ahmad Bashah tanpa mereka disedari.


Selain itu, difahamkan propaganda politik di media sosial yang dipercayai penyokong Mukhriz pula memburukkan keadaan dengan menyebarkan gambar Ahmad Bashah yang dikatakan terlelap sedikit ketika menghadiri satu majlis Istana.

Namun begitu, Ahmad Bashah dikatakan tidak mempeduli persepsi tersebut dan mengetuai Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang telah berjaya meletakkan skuad Helang Merah kini di takhta Liga Super, selain menjuarai Piala Malaysia musim lalu.

Sementara itu, pentadbiran beliau walaupun masih singkat tempohnya namun dalam diam dilihat banyak menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu rakyat dengan program BARAKAH yang menyentuh pelbagai aspek asas kebajikan rakyat Kedah. - Kedahnews.com