Mohd Radzi dan anak ketiganya yang dikenali sebagai Chik yang kini turut mewarisi kerja mulia bapanya sebagai nelayan di Tanjung Dawai. |
TANJUNG DAWAI - Jari jemarinya terasa kasar ketika bersalam, mungkin kerana sudah berpuluh tahun berpanas dan berhujan menarik tali pukat demi mencari rezeki di sekitar persisir pantai di Tanjung Dawai selama ini.
Setelah tamat darjah 6 kira-kira 41 tahun yang lalu, Mohd Radzi Hasan, anak jati Kampung Jilid 3 di sini sudah mula turun ke laut mencari sesuap nasi di lautan lepas sebagai nelayan demi menyara diri dan keluarga.
Kini, dia yang sudah berusia 53 tahun masih lagi meneruskan usaha murni bersama anak-anaknya dengan perahu kecil mencari hasil laut khususnya udang di sepanjang persisir pantai di sekitar Tanjung Dawai.
Dikurniakan seramai 9 anak, Mohd Radzi tidak pernah jemu berdepan jerih payah sebagai nelayan kecil meskipun diuji dengan kesempitan hidup dan tetap bertawakkal kepada rezeki dari Allah SWT.
Bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang hadir menghulurkan bantuan elaun sara hidup di sini semalam, Mohd Radzi menjelaskan bantuan kali ini adalah yang pertama diterima.
"Pakcik rasa besar hati, ada jugak yang sanggup jengok kami nelayan kecil kat Tanjung Dawai ni. Mai sini, sanggup dengar rintihan hati kami.
"Sebelum ni pakcik ada terima subsidi petrol, sama macam nelayan-nelayan berdaftar lain. Tapi kalau bantuan duit macam ni memang ini pertama kali. Sebelum ini memang ada bantuan duit, tapi nama pakcik tak tersenarai.
"Pakcik terkilan juga bila nama tak lekat. Pakcik nelayan kecil, orang susah. Anak ada 9 orang, ada yang dah kahwin tapi terpaksa duduk di rumah pakcik sebab tak mampu miliki rumah sendiri. Sekarang ni semua ada 14 orang duduk di rumah.
"Memang sempit. Rumah lama, dah uzur dah. Pakcik sama-sama usaha bina rumah untuk anak sulung pakcik tu. Tapi sikit-sikitlah.. lepas balik dari laut, kami ikat bata rumah anak pakcik. Tapi memang makan masa agak lama," jelasnya kepada Kedahnews.com di sini, semalam.
Bot bilis yang difahamkan milik salah seorang "tauke" berbangsa Cina di sini. |
Mengulas lanjut, Mohd Radzi menjelaskan bahawa dia pernah meminta bantuan dari persatuan nelayan di sini, namun mengecewakan.
Pernah juga dia memohon pertimbangan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di kawasan tersebut, namun difahamkan masih belum menerima sebarang jawapan.
Anak sulungnya, Mohd Firdaus, juga memohon untuk mendapatkan bantuan rumah penempatan semula nelayan yang disediakan Kerajaan Negeri, namun permohonan tersebut difahamkan gagal.
"Pakcik sendiri dah takpa dah. Tapi anak pakcik ni dah bernikah, tapi boleh bagi (bantuan rumah penempatan semula). Kalau kita merungut, nanti depa marah kat kita, kan? Jadi la ni kami diam sudahlah.
"Tapi hari ni ada yang sanggup tanya rintihan kami ni, pakcik rasa cukup besar hati dah. Alhhamdulillah.
"Tapi pakcik pun tak tahu kenapa gagal. Kalau hendak diikutkan syarat, rasanya memang layak. Tapi anak pakcik tak dapat. Pakcik pun tak faham.
"Jadi pakcik gagah juga teruskan buat rumah tu. Pakcik ada mohon bantuan bumbung rumah untuk anak pakcik tu, tapi itu pun tak dapat. Depa kata ada bantuan, tapi tak tahulah kenapa pakcik tak dapat," katanya.
Katanya, hanya sebahagian sahaja nelayan yang menerima bantuan rumah penempatan semula yang disediakan Kerajaan Negeri itu, namun kesal kerana dia difahamkan ada di kalangan bukan nelayan yang turut memohon bantuan tersebut.
Justeru itu, Mohd Radzi memohon pihak berkaitan supaya lebih teliti dalam soal memberikan bantuan kepada nelayan yang layak menerima bantuan rumah penempatan nelayan tersebut supaya tidak meminggirkan mereka yang benar-benar layak menerima bantuan berkenaan.
"Terkilan sungguh hati pakcik. Anak pakcik susah, pakcik pun susah. Anak pakcik mohon rumah tak dapat, mohon bantuan bumbung rumah pun tak dapat.
"Bukan pakcik saja, ada lagi nelayan yang lebih susah dari pakcik. Dia ada sampan kecil saja, perahu pun takdak enjin, kayuh sendiri pakai pengayuh. Dia pun tak dapat bantuan?
"Pakcik yakin kerajaan negeri ada beri bantuan. Tapi sebahagian saja yang terima bantuan tu, sebahagian lagi tak dapat. Mungkin dapat kat orang lain, tak tahulah pakcik. Pakcik tak mahu tuduh sesiapa, tapi itulah yang berlaku," jelasnya lagi.
Bot nelayan di jeti nelayan Tanjung Dawai |
Seramai 843 nelayan di Tanjung Dawai semalam menerima bantuan elaun sara hidup yang disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama LKIM.
Turut hadir di majlis berkenaan adalah Exco-Exco Kerajaan Negeri, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan jawatankuasa persatuan nelayan tempatan. - Kedahnews.com