Enam Warga Asing Ditahan Tanpa Dokumen Di Sik


SIK - Enam warga asing tanpa dokumen perjalanan sah ditahan Jabatan Imigresen Kedah di dua lokasi berasingan, dalam operasi Ops Ikrar (Mahir) dan Ops Ikrar (Belanja), baru-baru ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki Kemboja dan dua wanita warganegara sama, kesemua ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun.

Operasi bermula 11.30 pagi hingga 2.30 petang itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan (TPPK), Marlis Marhaini Abd Rashid.

Pengarah, Imigresen Negeri Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, bertindak atas maklumat, serbuan dijalankan di sebuah premis memperbaiki sofa di Kampung Gulau dan gerai Pasar Kemboja, Gulau.

“Daripada ops dilakukan, Jabatan Imigresen Kedah menahan enam orang hasil daripada pemeriksaan terhadap 122 orang yang terdiri daripada pelbagai warganegara.

"Ketika serbuan, kebanyakan warga asing itu sedang leka melakukan kerja-kerja di premis. Tiga lelaki Pakistan ditahan di premis membaiki sofa Kampung Gulau manakala tiga warga Kemboja ditahan di gerai Pasar Kemboja, Gulau,” katanya di sini, kelmarin.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan dilokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen, Belantik.

Dalam perkembangan berasingan, Zuhair berkata, pemeriksaan juga dilakukan di rumah tidak bernombor di Kampung Durian Burung namun didapati tiada penghuni.

“Seterusnya pihak kami sekali lagi mengadakan pemeriksaan ke atas deretan premis perniagaan di sekitar Pekan Sik.

“Seramai 106 warga asing termasuk warganegara Malaysia diperiksa dan mereka didapati mempunyai dokumen perjalanan diri dan pas atau permit yang sah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian