Galas Amanah Allah, Mengapa Perlu Sia-Siakan Hidup?


DALAM usaha memperoleh masa depan yang cerah, manusia sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai segala cita-cita dan keinginan hidup tersebut.

Bagaimanapun, pendakwah motivasi antarabangsa, Osman Bulut menarik perhatian umum dengan menyatakan sejauh manakah keyakinan terhadap impian yang dikejar itu dapat memberi manfaat kepada diri sendiri untuk selama-lamanya.

Bercakap dalam rakaman umum menerusi siaran Kafilen channels baru-baru ini, pendakwah muda kelahiran Turki itu menegaskan, segala usaha dilakukan sejak dari kecil dikhuatiri menjadi sia-sia jika tidak disertakan dengan elemen terpenting dalam kehidupan setiap manusia.

“Ramai penceramah menegaskan, kita perlu ada sasaran dalam hidup. Antaranya, jangan tidur lebih daripada enam jam, menguasai lebih daripada satu bahasa, menghabiskan membaca buku setiap minggu, jangan menyerah dalam mengejar impianmu dan sebagainya.

“Benar, semuanya ini bertujuan mencapai kehidupan bahagia dan cerah. Namun apa yang kurang ditekankan oleh kebanyakan pencera­mah motivasi adalah perkara terpenting iaitu mengikhlaskan hati melakukan sesuatu perkara kerana Allah SWT,” katanya.

Memetik konotasi mudah, Osman berkata, cuba tukarkan setiap impian dalam hidup dalam kiraan nombor dan menjumlahkan ke­semua pada penghujungnya.

“Sebagai contoh pada tahun ini kamu mempunyai sebanyak 35 impian, kemudian ditambah lagi sebanyak empat, enam, lapan, 10 dan seterusnya pada tahun-tahun berikutnya sehingga tiba satu waktu akan berhenti.

“Apabila dicampurkan semua jumlah itu pastinya akan menjadi banyak dan berganda, namun kita lupa bahawa keseluruhan jumlah itu seperti dalam satu kurungan besar yang perlu didarabkan de­ngan sifar. Maka, segala yang kita usahakan puluhan tahun lalu akhirnya menjadi sifar.

“Sudah tentu kita akan berasa sangat kecewa, semua usaha yang telah kita lakukan sia-sia. Pada masa itulah kamu akan berkata, “kalaulah aku tahu keputusan akhir itu, sejak dari awal lagi aku akan berusaha mengubah angka sifar itu kepada satu sebelum memulakan segala pengiraan tersebut,” ujarnya.

Nilai sifar itu tambahnya, diumpamakan dengan kematian dan kehidupan selepasnya.

“Sama juga jika kita berusaha melakukan pelbagai perubahan, belajar bahasa baharu, membaca buku setiap minggu, meningkatkan pendapatan dan sebagainya, tetapi jika kamu menetapkan sasaran ini hanya untuk berjaya dan hidup senang di dunia, ketahuilah semua ini akan menjadi kosong atau sia-sia apabila meninggal dunia.

“Segala kelebihan harta melimpah ruah, berpangkat tinggi, ilmu yang hebat, tetapi tidak ubah seperti orang yang tidak mempunyai apa-apa. Jadi, apa tujuan kita mengumpul segala-galanya dalam hidup tetapi akhirnya sia-sia, ini hanya akan membuatkan kamu benar-benar merasa kecewa,” katanya.

Oleh itu tambahnya, umat Islam perlu menyedari sejak awal lagi untuk menukarkan angka kosong yang mewakili kematian itu kepada satu bagi membolehkan segala amalan dilakukan menjadi bekalan kehidupan akhirat.

“Allah menyatakan dalam surah al-Qasas ayat 88 bermaksud: “... tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah...” Jadi, bagaimana ingin menjadikan usaha di dunia itu kekal abadi? Jawapannya adalah, dengan melakukan sesuatu perkara kerana Allah.

“Sesungguhnya amalan dilakukan kerana Allah untuk mencari reda-Nya akan menjadi ibadah yang dihitung sebagai pahala malah akan berterusan walaupun setelah mati. Sebagai contoh, kamu mempelajari bahasa asing dan menguasainya, kemudian memanfaatkan untuk berdakwah di jalan Allah.

“Begitu juga setiap ilmu yang dipelajari digunakan untuk menyampaikan kepada orang lain, manakala harta kekayaan disedekahkan pada jalan Allah. Semua ini tidak akan hilang, malah diberikan cop keabadian oleh Allah,” jelasnya.

Sehubungan itu, Osman berkata, sudah tiba masa umat Islam menetapkan keimanan bahawa setiap perkara dilakukan di dunia tidak terhenti begitu sahaja tetapi akan dinilai dalam alam berbeza.

“Tugas pertama dalam hidup kita bukanlah untuk memiliki harta yang banyak, ilmu tinggi dan berpangkat besar, tetapi mengenali Allah. Semakin banyak kamu mengenali-Nya, semakin tinggi kamu akan mencintai-Nya.

“Ketahuilah untuk apa Dia menciptakan kamu dan memberikan kehidupan, semuanya adalah untuk melihat ketakwaan dan kesetiaan kita melaksanakan segala perintah Allah,” katanya.

Sumber: Utusan