Gelaran Ratu Cantik Malaysia Ditarik Balik Selepas...


BERITA kurang baik buat penyandang gelaran Miss Malaysia World 2016/17, Tatiana Kumar Nandha kerana gelaran ratu cantik yang dimenanginya kira-kira tujuh bulan lalu telah dilucutkan pihak penganjur.

Gelaran ratu cantik itu ditarik balik selepas Tatiana didapati melanggar etika dan kontrak penganjur pertandingan tersebut.

Menurut pengarah kebangsaan program tersebut, Datuk Anna Lim, gelaran itu ditarik berikutan Tatiana dan keluarganya memberikan komen kurang menyenangkan terhadap penganjur di media sosial.

“Terdapat formaliti tertentu dan dia melanggar salah satu melibatkan penaja penting.

“Ini menyebabkan kontraknya ditamatkan,” katanya kepada The Star Online.

Tatiana bersama naib juara, Shweta Sekhon
Susulan pelucutan itu naib juara, Shweta Sekhon, 19, dinobatkan Miss Malaysia World 2016/17 yang baharu.

Terdahulu, Tatiana, 19, pernah mewakili Malaysia di pentas akhir Ratu Cantik Dunia yang diadakan di Maryland, Amerika Syarikat pada 18 Disember lepas. – Kedahnews.com