"Geng Kodi" Curi Motosikal Akhirnya Tumpas Di Tangan Polis Kuala Muda


SUNGAI PETANI – Polis menumpaskan ‘Geng Kodi’ yang aktif mencuri motosikal di kawasan Sungai Petani dengan tertangkapnya dua beradik lelaki berusia 21 dan 28 tahun, yang menjadi dalang kumpulan itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Md Zukir Md Isa berkata dua beradik itu ditahan dalam Op Lejang Khas di sebuah rumah di Taman Sejati Indah di sini pada kira-kira 11.40 malam, 14 Mac lepas.

“Penangkapan dua beradik itu kemudiannya membawa kepada penemuan sebuah motosikal di sebuah ‘car wash’ di Padang Temusu, serta dua motoikal dan empat rangka motosikal di sebuah bengkel di Kota Kuala Muda.

“Polis turut menemukan sembilan rangka dan komponen motosikal yang telah dileraikan, yang dibuang oleh suspek ke sungai di Hentian Tikam Batu dan Sungai Kota Kuala Muda,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini, semalam.

Katanya polis turut menahan dua lagi lelaki, iaitu pemilik bengkel berusia 30 tahun dan seorang pembeli berusia 27 tahun, untuk membantu siasatan.

“Kita percaya kumpulan ini aktif lebih dari lima tahun lalu berdasarkan penemuan komponen motosikal yang berkaitan dengan laporan kecurian motosikal pada tahun 2013, dan penahanan suspek telah menyelesaikan 18 kes kecurian motosikal,” katanya.

Md Zukir berkata, siasatan lanjut mendapati kumpulan ini menjadikan kegiatan mencuri motosikal sebagai sumber pendapatan dan komponen yang dileraikan itu akan dijual ke pasaran gelap pemilik motosikal dalam kalangan remaja.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan tiga suspek ditahan reman bermula 20 Mac sehingga hari ini, manakala seorang suspek yang bertindak sebagai pembeli dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Md Zukir turut menasihati pemilik motosikal agar memasang kunci tambahan bagi mengelakkan kes kecurian memandangkan kes kecurian motosikal menyumbang lebih 50 peratus kepada indeks jenayah.

“Pada 2015 terdapat 885 kes dilaporkan dengan 144 daripadanya berjaya diselesaikan, pada 2016 kita berjaya menyelesaikan 629 kes daripada 888 kes yang dilaporkan, dan tahun ini sehingga Mac ini, polis berjaya menyelesaikan 176 kes daripada 220 kes yang dilaporkan,” katanya. – BERNAMA