GMMF Mengutuk Keras Serangan Ganas Di London


KUALA LUMPUR – Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (GMMF) menyuarakan kebimbangannya serta mengutuk sekeras-kerasnya serangan di Westminster, London, yang meragut lima nyawa, termasuk suspek penyerang, dan menyebabkan 40 orang cedera.

Dalam satu kenyataan, ketua pegawai eksekutifnya, Dr. Nasharudin Mat Isa, berkata GMMF sentiasa berdiri teguh bersama mangsa dan berdoa agar terbentuk satu barisan bersepadu bagi menentang semua bentuk keganasan serta perbuatan melampau.

“Berikutan siasatan penuh anti keganasan yang sedang dijalankan dengan diterajui Markas Memerangi Kegansan Perkhidmatan Polis Metropolitan, GMMF mengulangi pendiriannya tentang kepentingan mencegah keganasan melampau melalui pelbagai saluran serta perlunya ideologi pengganas seperti itu ditumpaskan secara intelektual,” katanya.

Menurut laporan antarabangsa, empat orang terbunuh dan 40 cedera selepas dirempuh dan ditikam dalam satu serangan mengejut di Westminster Bridge.

Kereta penyerang merempuh pejalan kaki di jambatan itu sebelum melanggar pagar Bangunan Parlimen.

Penyerang kemudian berlari melepasi pintu pagar sambil menghunus pisau dan menikam hingga mati seorang anggota polis berusia 48 tahun sebelum dia ditembak mati seorang pegawai polis. – BERNAMA