Guan Eng Kini Anggap Mahathir Sebagai "Simbol"


ALOR SETAR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kini menganggap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai "simbol" baru dalam gabungan Pakatan Harapan yang dikuasai pengaruh DAP.

Katanya, Mahathir telah menunjukkan contoh yang sangat baik dalam mewujudkan semangat perpaduan di dalam gabungan parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan.

"Adalah wajar untuk Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah menjadi simbol Harapan.

"Kita ada seorang lelaki dan seorang wanita, dan tujuannya adalah untuk menunjukkan semangat perpaduan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain Mahathir, Guan Eng juga turut menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai "simbol" pakatan pembangkang tersebut.

Sementara itu, Guan Eng turut meluahkan hasratnya untuk melihat gabungan Mahathir - Wan Azizah akan melahirkan hasil yang baik bagi Pakatan Harapan pada masa yang akan datang.

"Ini yang ingin dicapai Harapan dengan adanya anggota baru.

"Seorang pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan, dan seorang lagi pemimpin pembangkang," katanya yang merujuk kepada Mahathir dan Wan Azizah.

Dalam perkembangan lain, Pakatan Harapan difahamkan telah bersetuju untuk melantik Mahathir dan Wan Azizah sebagai penasihat jawatankuasa penaja gabungan pembangkang tersebut.

Selain itu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan yang diadakan pada Isnin lalu telah memutuskan untuk membentuk 18 ahli jawatankuasa penaja tersebut. – Kedahnews.com