Guru Diingatkan Jangan Sertai Daesh, Militan


KUCHING – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid semalam mengulangi ingatan agar para guru di negara ini tidak membabitkan diri dengan sebarang kegiatan Daesh atau kumpulan militan lain.

Katanya golongan guru tidak harus membiarkan diri mereka terpengaruh dengan mudah dakyah yang disebar oleh kumpulan berkenaan menerusi media sosial.

“Sebagai guru, kalian sepatutnya tahu mana yang baik mana yang buruk,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan khas kerajaan persekutuan kepada sekolah Cina berjumlah RM3.64 juta, melibatkan 68 sekolah di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, di sini semalam.

Pada sebelah pagi di Bintulu, beliau menyampaikan bantuan serupa berjumlah RM5.4 juta untuk disalur kepada 112 sekolah Cina di Sibu, Sarikei, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Mengulas langkah kementerian menghantar 400 guru agama ke negeri ini, beliau berkata perkara itu telah dipersetujui oleh Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

“Guru agama ini akan mengisi kekosongan di negeri ini. Sebelum ini kami cuba mengambil guru agama tempatan namun kurang mendapat sambutan daripada rakyat Sarawak,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berharap lembaga pengelola sekolah Cina terbabit akan memanfaatkan sebaik mungkin bantuan yang diberi.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan persekutuan akan terus membantu sekolah terbabit pada tahun-tahun mendatang. – BERNAMA