Guru Mengaku Tidak Bersalah Atas Tuduhan Cederakan, Cabul Murid


KUALA PILAH - Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan mencederakan dan mencabul seorang murid lelaki, dua tahun lalu.

Md Yunus Ashari, 50, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ala'uddin Baharom.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan seorang murid lelaki yang ketika itu berusia 11 tahun dalam bilik sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, jam 9.30 pagi, 12 November 2015.

Kesalahan ini didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mencabul murid yang sama di tempat, masa dan hari yang sama.

Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Muhamad, manakala tertuduh diwakili Muhammad Hafiz Leman.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Sumber: BH Online