H5N1: Perlu Tunggu Laporan Jabatan Kesihatan Sebelum Tutup Sekolah


ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan masih menunggu laporan penuh Jabatan Kesihatan Kelantan sebelum mengambil tindakan seperti menutup sekolah susulan penularan wabak selsema burung (H5N1) di negeri itu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, laporan itu penting bagi menentukan apa bentuk tindakan dan langkah yang boleh diambil kementerian demi menjamin kesihatan pelajar dan murid tidak terjejas ketika berada di sekolah.

“Kalau tempat itu serius dengan wabak tersebut, kita boleh ke peringkat melarang pelajar ke sekolah tetapi kita perlu tunggu laporan Jabatan Kesihatan Kelantan sepenuhnya dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Penyerahan cek Peruntukan Khas kepada 74 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kedah dan Perlis di SJKC Keat Hwa di sini, semalam.

Semalam Kelantan mengisytiharkan mengisytiharkan wabak H5N1 sebagai bencana negeri berikutan wabak itu merebak di dua lagi jajahan, iaitu Bachok dan Pasir Puteh, selepas Kota Bharu dan Pasir Mas. – BERNAMA