Had BDM Beberapa Kenderaan Perdagangan Dinaikkan - Menteri

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (dua dari kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain (kanan) mendengar taklimat tentang penggunaan topi keledar yang selamat daripada Ketua Unit Penyelarasan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang, Roziah Aziz (tiga dari kanan) ketika melawat pameran selepas pada Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Ke 58 di Ballroom TH Hotel. - Foto Sharul Hafiz Zam
ALOR SETAR - Kadar had Berat Dengan Muatan kenderaan 'decontrolled' di negara ini dinaikkan daripada lima tan kepada 7.5 tan, berkuat kuasa serta-merta, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menaikkan had berat muatan antara satu dan enam tan bagi kenderaan perdagangan dua hingga enam gandar di Semenanjung Malaysia.

"Kenaikan had berat ini membolehkan kos pengangkutan dikurangkan sebanyak tujuh peratus seiring dengan usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kos barangan pengguna," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya di sini semalam.

Katanya, kerajaan yakin langkah itu akan memastikan sistem jaringan kenderaan barangan di Malaysia dapat berkembang dengan lebih pesat dan efektif.

Mengulas kenaikan had muatan, Liow berkata bagi kenderaan dua gandar, tiga gandar (rigid/tegar) dan tiga gandar (articulated/bersendi) masing-masing dinaikkan satu tan kepada 19, 27 dan 31 tan.

Bagi kenderaan empat gandar pula, had muatan dinaikkan dua tan kepada 39 tan, lima gandar dinaikkan lima tan kepada 45 tan dan enam gandar dinaikkan enam tan kepada 50 tan.

Katanya, keputusan terbabit dibuat selepas mengambil kira cadangan pihak industri pengangkutan dan pengusaha kenderaan perdagangan.

"Untuk kadar berat muatan bagi kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak, perkara ini masih diteliti oleh kementerian saya dan Kementerian Kerja Raya memandangkan banyak jambatan dan jalan raya di negeri-negeri berkenaan belum dinaik taraf," katanya. - BERNAMA