PETALING JAYA - Selepas beberapa kali kecewa dalam percintaan, penyanyi Hafiz Hamidun akhirnya mendedahkan akan menamatkan zaman bujangnya dengan seorang wanita berstatus ibu tunggal.
Hafiz, 33, berkata dia merancang untuk menikahi wanita berkenaan sebelum umat Islam menyambut Ramadan pada Mei depan.
"Bagi pihak saya, memang dirancang untuk menikah sebelum Ramadan dan majlis resepsi akan diadakan selepas raya tahun ini.
"Saya tak rancang untuk bertunang, sebaliknya mahu terus bernikah. Saya berdoa semoga perancangan saya untuk berkahwin kali ini berjaya... insyaAllah," katanya.
Hafiz atau Mohammad Hafiz Hamidun dihubungi bagi menjelaskan mengenai statusnya di Twitter beberapa hari lalu yang mengumumkan dia akan berkahwin.
Berkongsi lanjut mengenai wanita pilihannya itu, Hafiz berkata mereka mula berkenalan secara serius sejak dua bulan lalu sebelum merancang untuk menjalinkan hubungan yang sah.
"Kami kenal antara satu sama lain sudah lama. Tapi sejak dua bulan lalu kami mula berkawan dengan serius.
"Dia yang pernah berkahwin dan mempunyai anak sudah tahu mengenai hala tuju hubungan kami. Saya juga sudah memberitahu niat ikhlas saya untuk memperisterikannya," kata Hafiz.
Hafiz bagaimanapun masih berahsia mengenai wanita berkenaan termasuklah bilangan anak bakal isterinya itu.
Ditanya sama ada keluarganya merestui hubungan berkenaan, Hafiz berkata isu itu sudah diselesaikan lebih awal.
"Pada mulanya memang keluarga persoalkan status wanita pilihan saya ini, tapi akhirnya mereka faham dengan perancangan saya.
"Saya sendiri sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab ini, saya harap semua pihak doakan semoga ia berjaya," katanya yang kini sibuk menjalani pengambaran drama Mr Hijab yang akan ditayangkan di TV3 pada April ini.
Tambah Hafiz, sungguhpun sibuk dengan aktiviti seni dan perniagaan, pada masa sama dia mahu memberi tumpuan menguruskan rancangan perkahwinannya.
"Sebelum ini saya tak pernah fokus mengenai hal peribadi. Saya sedar perancangan sebelum ini tak menjadi kerana asyik sibuk dengan karier.
"Tapi kali ini saya serius, saya sudah bersedia untuk kahwin," katanya.
Sebelum ini Hafiz pernah dikaitkan bercinta dengan selebriti Instagram dan model muslimah, Addiela Ridzuan.
Bagaimanapun hubungan berkenaan berakhir dan wanita itu baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada Ahad.
Sumber: mStar