Hamil 7 Minggu, Amar Bahrin Tak Izin Amyra Rosli Berlakon


SEJAK Amyra Rosli disahkan hamil tujuh minggu, pelakon Amar Baharin mengambil keputusan melarang isterinya daripada mengambil sebarang tawaran lakonan.

Menurut Amar, larangannya itu bersebab kerana dia hanya ingin memastikan Amyra dapat berehat sepenuhnya bagi menjaga kandungan sulung.

"Saya nak dia betul-betul rehat pada masa yang sama memastikan bayi yang dikandung normal dan kuat. Saya berharap semua orang faham situasi dia sekarang. Biarlah dia berehat sepenuhnya daripada bidang seni sehingga selesai proses kelahiran dan berpantang.

"Banyak perancangan untuk anak belum ada lagi. Ini kerana kami hendak fokus kepada kandungan dulu. Apabila kandungan sudah betul-betul kuat, baru kami berbincang apa yang perlu dibuat.

"Tetapi untuk Amyra, kena rombak balik jadual dia. Saya kena kurangkan penggambaran drama serta fokus kepada pengacaraan dan duta produk sahaja,” kata Amar, memetik laporan Berita Harian.

Amar turut menjelaskan, walaupun usia kandungan isterinya masih terlalu awal untuk dihebahkan namun mereka mengambil keputusan untuk mewar-warkan perkara itu terlebih dahulu kerana sekadar ingin berkongsi kegembiraan dengan peminat masing-masing.

Amar dan Amyra bernikah pada 11 November tahun lalu di Sunway Montana, Kuala Lumpur.

Pasangan ini mula menjalin hubungan selepas digandingkan dalam drama bersiri Suamiku Encik Sotong yang ditayangkan di Astro Ria. – Kedahnews.com