Hampir 140,000 Murid Terlibat Program Dwibahasa - Mahdzir


KUALA LUMPUR – Seramai 139,197 murid atau 2.9 peratus daripada jumlah murid sekolah rendah dan menengah terlibat dengan Program Dwibahasa (DLP).

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesemua mereka merupakan murid daripada 1,216 sekolah meliputi 587 sekolah rendah dan 629 sekolah menengah di seluruh negara.

“DLP yang diperkenalkan tahun lepas merupakan program sukarela yang tidak melibatkan semua sekolah dan murid. Pengetua atau guru besar berhak menolak tawaran sekiranya sekolah tidak berminat atau tidak bersedia melaksanakan DLP,” katanya semasa waktu pertanyaan menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan G. Manivannan (PKR-Kapar) mengenai status terkini pelaksanaan DLP serta kriteria yang diguna pakai sebelum sesebuah sekolah diberikan kelulusan mempraktikkan program itu.

Mahdzir berkata DLP memberi pilihan kepada sekolah-sekolah yang memenuhi kriteria untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris selain Bahasa Melayu bagi mata pelajaran Matematik dan Sains.

Bagi meningkatkan kemahiran guru terlibat dalam program itu, Mahdzir berkata kerajaan mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memantapkan dan memperkasakan Bahasa Inggeris guru-guru berkenaan.

Katanya seramai 1,732 guru mendaftar untuk menyertai latihan dalam talian kemahiran Bahasa Inggeris yang disediakan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC) tahun ini.

Menjelas lanjut, Mahdzir berkata sekolah perlu memenuhi empat kriteria iaitu sumber mencukupi, kesediaan pengetua atau guru besar dan guru, permintaan dan sokongan ibu bapa serta pencapaian sekolah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi melaksanakan DLP. – BERNAMA