SEMENJAK mendirikan rumah tangga, pelakon Hanez Suraya sudah jarang kelihatan muncul dalam mana-mana drama mahupun filem.
Mengulas perkara itu, Hanez, 32, akui suaminya yang juga ahli perniagaan, Romie Razin tidak mengizinkannya kembali ke dunia lakonan.
Menurutnya, dia sudah cuba memujuk suaminya memandangkan rindu untuk berlakon namun Romie tetap dengan pendirian itu.
Pun begitu, bagi pelakon drama Love You Mr. Arrogant ini, sebagai isteri dia akur dengan permintaan suaminya dan merasakan tiada apa perlu dikesalkan.
“Tak ada apa yang perlu dikesalkan. Tipulah kalau saya kata tak rindu nak berlakon semula, tapi sebagai isteri, perlu patuh kepada suami.
“Mungkin ada sebab suami berbuat sedemikian, apatah lagi dalam dunia lakonan macam-macam boleh terjadi.
“Walaupun tak berlakon, tapi dia mengizinkan saya untuk menjalankan perniagaan. Dia membuka peluang itu kepada saya.
“Alhamdulillah sekarang sudah tiga bulan saya mengusahakan tudung yang dijual secara ‘online’,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Tambah Hanez, dia awalnya takut untuk mengusahakan perniagaan tudung itu, namun setelah disokong oleh rakan dan suami membuatkan dirinya lebih bersemangat.
Sementara itu, Hanez menafikan khabar angin menyatakan hubungannya dengan suami bermasalah sebaliknya mengakui rumah tangganya semakin bahagia.
“Saya pun pelik macam mana cerita itu boleh timbul. Apatah lagi terlalu banyak cerita yang ditokok tambah. Ketika cerita itu tersebar saya dan suami okey saja, tapi apabila pelbagai spekulasi timbul membuatkan perkara itu menjadi rumit.
“Suami saya tidak terbabit dalam dunia hiburan, jadi dia seorang mudah terpengaruh dengan cerita disampaikan. Disebabkan itu saya perlu menjelaskannya satu persatu hingga dia faham. Paling penting saya minta dia tak mudah percaya,” katanya.
Hanez mendirikan rumah tangga dengan Romie pada 25 Mac 2015. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata bernama Puteri Aleesya yang kini berusia setahun dua bulan. – Kedahnews.com