Hanya 3 Kekal, FAM Kini Berwajah Baru


PETALING JAYA – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim disahkan sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak (FAM) bagi penggal 2017-2021 sempena Kongres FAM ke-53 di sini hari ini.

Tunku Ismail menang tanpa bertanding selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa, bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menarik diri, Khamis lepas.

Dua jawatan timbalan presiden disandang oleh presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal dan timbalan presiden Melaka United Association (MUSA), Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Subahan meraih undi tertinggi iaitu 37 undi manakala Mohd Yusoff mendapat 33 undi manakala penyandang Datuk Seri Afandi Hamzah gagal mempertahankan jawatannya selepas memperoleh enam undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, menyaksikan sembilan calon bertanding bagi merebut empat kekosongan.

Empat kerusi tersebut diisi Mohd Joehari Mohd (Sabah) dengan memperolehi undi tertinggi 34, Datuk Ab Ghani Hassan (Negeri Sembilan) mendapat 29 undi, pengerusi jawatankuasa tiket dan pintu FAM, Datuk S. Sivasundram (28 undi) dan Datuk Rosmadi Ismail (Kelantan) yang memperoleh 20 undi.

Bagi kerusi Exco FAM pula, seramai lapan calon lelaki dipilih iaitu Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) PDRM, SAC Datuk Azisman Alias yang meraih undi tertinggi, 33 undi.

Setiausaha kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar pula memperolehi 30 undi diikuti exco Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Mohd Hisamudin Yahaya (29) dan naib presiden KFA, Datuk Jeferey Low Han Chow (28).

Buat pertama kalinya, turut terpilih adalah calon yang mewakili suara media iaitu ketua pegawai eksekutif Shekhinah PR, Christopher Raj (25), Supt Mohd Dali Wahid (25), Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBMS), Mohd Firdaus Mohamed (21) dan pengerusi jawatankuasa pengadil, Subkhiddin Mohd Salleh FAM (21).

Dua exco wanita pula menyaksikan Presiden Persatuan Bola Jaring, Datuk Suraya Yaacob dan Shafizah Umamah Abdul Mutalib mengisi kekosongan kerusi berkenaan dengan masing-masing meraih 24 dan 18 undi. – BERNAMA