"Hanya Ahmad Bashah Saja Yang Sudi, MB Lain Tak Pernah.."


ALOR SETAR - Kesudian Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turun padang mengambil peduli golongan pengusaha teksi di sini dipandang tinggi dan diharap dapat membela nasib mereka yang sejak sekian lama tidak dipedulikan.

Setiausaha Persatuan Koperasi Pengusaha dan Pemandu Teksi Sungai Petani, Abdul Wahab berkata, Menteri-Menteri Besar sebelum ini memandang sepi kepada masalah yang dihadapi para pengusaha teksi di sini, namun Ahmad Bashah bersahaja datang mengambil berat tentang hal kebajikan mereka.

"Tak pernah. Dato' Seri Ahmad Bashah Menteri Besar pertama yang sanggup jengok kami di sini. Menteri-Menteri Besar sebelum ini tidak ada yang sudi datang. Dulu adalah Datuk Seri Mahdzir Khalid datang.

"Kami harap dengan program santai sebegini beliau dapat melihat sendiri keadaan kami yang sudah bertahun-tahun kurang dipedulikan. Kami yakin Datuk Seri Ahmad Bashah mampu bela nasib kami," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini pagi tadi.


Ahmad Bashah pagi ini mengadakan program santai bersarapan bersama pengusaha dan pemandu teksi di stesen bas dan teksi Sungai Petani dan mengambil peluang untuk mendengar keluhan dan keperluan yang diharapkan komuniti di sini, pagi ini.

Menteri Besar itu berkata, sejak sekian lama kawasan stesen bas dan teksi di sini tidak menerima pembangunan sewajarnya, dan beliau akan cuba sedaya upaya untuk memenuhi keperluan dan kebajikan para pengusaha teksi di sini.

"Saya melihat ada keperluan untuk meningkatkan kemudahan di stesen teksi di Sungai Petani agar lebih selesa untuk pemandu teksi dan pengguna perkhidmatan itu.

"Kita kena duduk dan berbincang dengan semua pihak terlibat, terutama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri para pemandu teksi di sini.

Kata Ahmad Bashah, pihaknya akan meneliti dan mempertimbang keperluan yang disuarakan para pengusaha teksi di daerah tersebut dengan MPSPK khususnya berkaitan pembinaan tempat meletak teksi berbumbung dan pejabat yang lebih sempurna bagi keselesaan mereka.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berhubung "ulat-ulat teksi'" atau lebih dikenali sebagai "prebet sapu" yang beroperasi secara haram di sini.

"Depa mai dok ambil penumpang secara haram sekitar jam 3 pagi - 4 pagi, tak bolehlah begitu. Ganggu periuk nasi pengusaha teksi di sini. InsyaAllah, kerajaan negeri akan berhubung dengan SPAD untuk tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas selepas ini," katanya.


Selain itu, antara perkara lain yang turut dibangkitkan para pengusaha teksi di sini kepada Ahmad Bashah adalah mengenai kemudahan perkhidmatan yang memudahkan pemandu teksi memperbaharui kad mereka di Sungai Petani.

"Caj memperbaharui kad hanya RM5 namun urusannya perlu dibuat di Alor Setar dan saya berharap agar pihak berkenaan dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan kaunter khas, sekurang-kurangnya sebulan sekali di sini untuk memudahkan mereka.

"Perkara lain yang turut dibangkitkan ialah masalah ‘prebet sapu’ dan uniform pemandu teksi," katanya menyatakan komitmen beliau bagi mengatasi masalah tersebut.

Sementara itu menurut Abdul Wahab, ada di kalangan pemandu teksi yang menerima ugutan memecahkan cermin teksi dari "prebet-prebet" sapu yang mengganggu mata pencarian mereka di situ dan pemandu tersebut dinasihatkan supaya membuat laporan polis.

"Bukan setakat ugutan pecah cermin teksi, ada juga warga asing yang cari makan jadi prebet sapu di sini. Bagaimana kami nak cari makan.

"Terus terang saya kata, kadang-kadang kami hanya dapat RM20 hingga ke RM30 saja sehari. Dah lama rezeki kami 'dicuri' begini. Nak bergaduh, kami semua dah tua. Mujurlah Menteri Besar ada juga datang ambil tahu nasib kami di sini," katanya lagi. - Kedahnews.com