Mohamad Bokhri dan isterinya terpaksa berteduh di pondok buluh kerana masalah kewangan bagi membina rumah yang lebih sempurna. |
NAMI - Penoreh getah dari Kampung Nami, di sini, hanya mampu menjadikan pondok berdindingkan buluh sebagai tempat berteduh buat keluarganya.
Mohamad Bokhri Yusof, 32, berkata, pondok yang didiami bersama isteri, Nor Sharmimi Sharudin, 27 dan tiga anak mereka sudah tiga kali roboh gara-gara angin kuat.
Menurutnya, dia tidak mampu membina rumah kerana pendapatan sebagai penoreh tidak menentu, malah terpaksa membiayai persekolahan anak mereka.
“Saya dan isteri bina pondok buluh ini untuk kami sekeluarga berteduh dan pernah beberapa kali runtuh kerana angin kuat. Pernah kami sekeluarga terpaksa tumpang rumah emak saya yang berdekatan kerana bimbang pondok ini akan runtuh.
“Setiap kali hujan sudah pasti peralatan dalam rumah akan basah dan pernah buku sekolah anak saya turut basah kerana bumbung yang ditutupi oleh daun serdang bocor. Selain dari buluh, dinding pondok itu turut ditutupi oleh plastik dan perlu ditukar selalu,” katanya.
Dalam pada itu, pondoknya kerap dimasuki binatang berbisa termasuk biawak.
"Keadaan pondok yang tak sempurna memudahkan bintang masuk. Lantai dapur kami ini pula hanya tanah, kalau hujan habis becak," katanya.
Sementara itu, Nor Sharmimi berkata, dia dan suaminya pernah mendirikan rumah hasil simpanan mereka tetapi terbengkalai kerana masalah kewangan.
“Masalah itu sudah berlarutan hampir tujuh tahun dan kami sudah tidak mampu lagi membinanya dan mengutamakan kepada perbelanjaan sekolah anak-anak.
"Pernah juga maklumkan kepada beberapa pihak tetapi sehingga sekarang belum ada sebarang tindakan. Saya merayu kepada orang ramai atau agensi kerajaan supaya dapat membantu membiayai rumah kami yang terbengkalai sejak sekian lama,” katanya.
Bagi mereka yang ingin membantu bolehlah menyumbangkan terus kepada Mohamad Bokhri Yusof di akaun BSN 02115-41-00011126-7 atau menghubunginya di talian 013-583 7501.
Sumber: Sinar Harian