Hero Ombak Rindu Kini Pelakon Filem Tamil Di Chennai


KUALA LUMPUR - Selepas beberapa kali berpeluang membintangi filem Hong Kong, Aaron Aziz terus menimba pengalaman berlakon dalam naskhah terbitan luar negara apabila dilamar produksi dari India pula.

Kini berada di Chennai, India, Aaron terbabit dengan penggambaran filem Tamil berjudul Tik Tik Tik, arahan Shakti Soundar Rajan.

Menurut bintang yang terkenal dengan Ombak Rindu itu, filem bercorak cemas terbabit berkisar pada kejadian yang berlaku di angkasa. Dirinya pula diberikan watak antagonis bernama Kapten Li Wei.

Aaron yang akan berada di negara itu selama 24 hari berkata, pihak Astro sendiri terlebih dulu membuat kajian mengenai produksi filem berkenaan sebelum tawaran mereka diterima.

"Tawaran ini sebenarnya bermula selepas produksi filem terbabit berhasrat mencari watak antagonis dari luar India. Sebelum itu, sebuah syarikat, Tara Global, dari India yang dimiliki sepasang suami isteri, Ria dan Sri Khan, turut mengesyorkan nama saya bagi menjayakan watak terbabit kepada produksi filem berkenaan.

"Ria kebetulan berasal dari Malaysia, tetapi menetap di India bersama suaminya. Jadi dia turut mengambil tahu perkembangan seni saya di Malaysia dan Singapura," katanya yang berharap peluang berkenaan dapat membantunya mengembangkan lagi kerjaya lakonan ke peringkat global.

Kata bintang yang juga dikenali menerusi drama Isteri Tuan Ihsan ini, filem itu menyaksikan dirinya terbabit dalam 15 babak.

Sementara itu, menerusi artikel dikongsi oleh Aaron di laman sosial miliknya, pengarah filem terbabit menyifatkan pemilihan beliau adalah tepat untuk menghidupkan watak jahat berkenaan.

"Sebelum ini, kami mencari pelakon yang dapat memenuhi kriteria yang diinginkan. Aaron dilihat bertepatan kerana dia terkenal di Malaysia dan Singapura.

"Ada filem lakonannya yang mendapat kutipan tinggi di pawagam. Beliau juga mempunyai kelompok peminat yang ramai," kata Shakti.

Selain Aaron, filem bajet besar itu turut dibintangi pelakon terkenal India seperti Jayam Ravi dan Nivetha Pethuraj. Ia dijadualkan menemui penonton pada tahun ini juga.

Sumber: BH Online