SINGAPURA – Berbeza dengan Malaysia apabila hanya membayar RM1 untuk rawatan lengkap pesakit luar, di Singapura yang dianggap negara maju, segala-galanya perlu dibayar mahal.
Terbaharu, sebuah hospital terkenal di republik itu, Tan Tock Seng Hospital (TTSH) sanggup menjual cawan, piring, sudu teh waima jag air dalam satu pek khas dengan harga S$6 (kira-kira RM19) kepada pesakit sejak bulan lalu.
Bagaimanapun mereka yang kurang berkemampuan masih lagi mempunyai pilihan untuk menggunakan set makan sedia ada dan sering diguna semula ramai pesakit lain selepas ia selesai dibersihkan oleh pihak hospital tersebut.
Ketua jururawat TTSH, Yong Keng Kwang berkata, idea penjualan set sajian itu timbul setelah beberapa pesakit menyuarakan keprihatinan tentang tahap kebersihan cawan yang pernah dikongsi mereka selama ini agak jijik.
Diberi nama Pek Mudah, set tersebut mulanya dirintis di sebuah wad pada Oktober lalu. Ia diwujudkan ekoran ada pesakit ternampak beberapa pesakit lain suka meludah ke dalam cawan yang disediakan buat penggunaan pesakit.
Keng Kwang memberitahu agensi berita tempatan MediaCorp, beberapa pesakit juga didapati selamba sahaja gemar menggunakan cawan tersebut untuk menyimpan pelbagai barangan peribadi mereka, seperti gigi palsu terpakai.
Cawan dan jag air yang dikongsi dihantar ke dapur pusat hospital tersebut setiap pagi untuk dicuci dan dibersihkan daripada kuman, begitu juga sudu garpu yang diberi bersama dulang makanan, selepas setiap kali digunakan.
“Meskipun pihak TTSH sudah memberikan jaminan, beberapa pesakit masih lagi berasa tidak selesa, dan maklum balas yang serupa diberikan berulang kali apabila mereka jijik mengimbau pengalaman itu,” menurut Keng Kwang.
Set Pek Mudah, yang diilhamkan sendiri oleh para jururawat dan pegawai kesihatan TTSH, juga akan menjadi hak milik pesakit tersebut, yang boleh dibawa pulang ke rumah selepas habis menjalani rawatan di wad hospital.
Namun para pesakit ujar Keng Kwang, tidak perlu membeli pek tersebut jika mereka tidak mempunyai sebarang keprihatinan serius berhubung penggunaan bersama cawan dan jag yang dikongsi dengan ramai pesakit lain itu.
Hospital-hospital awam lain yang dihubungi Mediacorp bagaimanapun menyatakan bahawa ia buat masa ini belum berhasrat lagi menyediakan pilihan sedemikian kepada para pesakit mereka untuk mengelak peningkatan caj.
Di Singapura, pesakit Jabatan Kecemasan mana-mana hospital dikenakan bayaran S$115 (RM364) manakala caj konsultasi doktor daripada serendah S$12 (RM38) dan perkhidmatan ambulans pula ialah S$140 (RM450). – Agensi