Husam Musa Sokong 100% Pemimpin Langgar Bai'ah Diheret Ke Mahkamah


PETALING JAYA - Usul PAS kawasan Tanah Merah supaya bekas pemimpin parti itu didakwa di mahkamah syariah kerana melanggar sumpah taklik dan baiah yang pernah dilafazkan harus disokong, kata Datuk Husam Musa.

Bekas naib presiden PAS yang kini menyertai Amanah itu berkata bekas ahli Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali merupakan individu pertama harus dibawa ke mahkamah jika usul itu dipersetujui.

“Saya setuju dan sokong 100%. Kalau lihat ucapan saya, sebelum dia (PAS Cawangan Klewek) buat usul itu, saya sudah cadangkan.

“Kalau PAS bawa isu ini ke mahkamah syariah, yang pertama harus dibawa adalah Datuk Ibrahim Ali.

“Ini kerana Ibrahim Ali ada baiah pada 2008, kemudian dia keluar PAS, dan tidak lagi menjadi ahli Parlimen atas tiket PAS. Kemudian barulah yang lain-lain,” katanya.

Bagaimanapun, Husam berkata beliau tidak seharusnya dikaitkan dengan lafaz taklik dan sumpah baiah kerana beliau tidak keluar daripada PAS sebaliknya dipecat oleh parti.

“Isu ini harus disokong dan harus dilakukan agar dapat ditentukan kedudukan sebenarnya. Saya dipecat, bukannya saya lompat parti,” katanya.

Sebelum ini, perwakilan PAS Cawangan Klewek mendesak PAS Pusat atau Badan Perhubungan PAS Kelantan mengambil tindakan segera terhadap individu yang melanggar sumpah berkenaan.

Harakahdaily memetik perwakilan berkenaan sebagai berkata perbuatan individu terbabit sangat memalukan, seolah-olah mempermainkan sumpah.

Lafaz taklik dan sumpah baiah menjadi perkara wajib kepada semua calon yang dilantik mewakili PAS dalam pilihan raya di Kelantan.

Difahamkan, ia diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Antara wakil rakyat yang dikaitkan dengan isu itu ialah Dr Hatta Ramli (ahli Parlimen Kuala Kerai) dan Khalid Samad (Shah Alam).

Sumber: FMT