Sarimah bersama anaknya yang sentiasa tabah menghadapi kehidupan serba kekurangan. |
KULIM - Seorang ibu tunggal dari Taman Selasih, di sini, terpaksa ikat perut bagi membesarkan dua anaknya yang masih bersekolah.
Sarimah Yusuf, 33, yang menghidap penyakit kencing manis dan jantung, juga terpaksa bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta NGO untuk menyara kehidupan mereka tiga beranak.
“Saya nak kerja, tapi tak begitu sihat. Nanti kalau sakit, nak kena ambil cuti pula. Sekarang pun saya perlu pergi ke hospital dua kali sebulan untuk dapatkan rawatan.
“Lagipun kalau saya kerja, siapa nak jaga anak-anak? Kalau kerja kilang, mesti ada syif. Nak upah pengasuh pun waktu pejabat saja. Nak pergi kerja di kedai pun kenderaan tak ada. Jadi sekarang saya hanya bergantung hidup dengan elaun JKM RM300 dan persatuan Buddha RM200 sebulan,” katanya.
Menurutnya, selepas melangsaikan sewa rumah serta bil elektrik dan air, baki RM100 digunakan untuk membeli keperluan asas setiap bulan.
“Lepas tolak sewa rumah RM350, bayar bil api dan air, tinggallah kat saya RM100. Dengan baki inilah saya berjimat beli beras, gula, minyak, garam dan bawang.
“Lebih sikit-sikit saya simpan untuk waktu terdesak. Alhamdulillah, jiran dan kakak sentiasa bantu. Mungkin rezeki anak saya tak pernah tak makan, walaupun kadang-kadang anak makan nasi goreng kosong saja untuk lapik perut,” katanya.
Tambahnya, dia mengutamakan pendidikan anak-anak daripada membelanjakan wang untuk membeli makanan yang enak.
“Bagi saya duit yang ada lebih baik simpan untuk keperluan anak-anak dalam pelajaran. Yuran sekolah untuk tahun depan pun saya dah simpan sikit-sikit.
“Biarlah kami anak-beranak tak makan sedap macam orang lain. Yang penting anak-anak saya dapat bersekolah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan kerja sesuai dengan situasi dialami sekarang.
“Saya bukan hanya berserah pada takdir. Ada usaha juga tanya kawan-kawan untuk bekerja dan tambah sumber pendapatan, tapi perlulah sesuai dengan keadaan saya. Kalau boleh bekerja dari rumah, saya tak mahu susahkan sesiapa lagi,” katanya.
Sumber: Sinar Harian