Ikhlas Kedah Buat Laporan Polis Terhadap Datuk Bandar Alor Setar

Sarjakhan (dua, kiri) dan peniaga menunjukkan laporan polis dibuat mereka.
ALOR SETAR - Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah membuat laporan polis bagi membantah pengosongan tapak niaga Jalan Tunku Ibrahim, di sini, baru-baru ini.

Menurut pengerusi Ikhlas Kedah, Sarjakhan Abu Bakar, laporan polis dibuat terhadap Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad berkaitan notis pengosongan kawasan itu mulai 15 Mac.

“Malah, kami ingin menafikan masalah mengenai tapak sementara dan kekal selesai, memandangkan semua peniaga terlibat tidak bersetuju dengan arahan berpindah keluar itu.

“Untuk itu, kami memohon pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengkaji semula rancangan pembangunan projek yang akan diambil mereka bagi mendapatkan situasi menang-menang untuk kedua pihak,” katanya.

Katanya, peniaga terlibat tidak dapat menerima tapak kekal disediakan kerana bimbang mengalami nasib serupa seperti Medan Selera Jalan Putra.

Menurutnya, peniaga menganggap medan selera agak terlindung, sekali gus meminta pihak berkaitan dapat mempertimbangkan perkara berkenaan kerana enggan ia menjadi projek gajah putih.

Sarjakhan berkata, kira-kira 15 peniaga diwakili Ikhlas Kedah membuat laporan dan tegas dengan pendirian mereka yang enggan berpindah dari tapak niaga digunakan sejak 20 tahun lepas sehingga keputusan menang-menang diambil.

"Kita harap pihak berkaitan dapat menyediakan dokumen lengkap, berbanding memberi janji lisan berhubung pembangunan kawasan itu untuk memastikan nasib peniaga terbela.

"Pihak berkenaan diminta memastikan kehadiran Ikhlas sebagai pemantau dalam membincangkan sebarang isu berkaitan dengan peniaga selepas ini," katanya.

Dalam laporan polis dibuat, Ikhlas Kedah turut menggesa Datuk Bandar Alor Setar melakukan siasatan terhadap aduan dikemukakan mereka berhubung isu pegawai kanan MBAS.

"Ikhlas menafikan dakwaan dikemukakan Datuk Bandar bahawa perkara dibangkitkan mengenai pegawai kanan yang menyalahgunakan kuasa adalah bersifat tohmahan semata-mata.

"Kita harap Datuk Bandar dan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) dapat mengambil tindakan dengan menyiasat maklumat diberikan Ikhlas Kedah," katanya.

Sebelum ini, peniaga Jalan Tunku Ibrahim, di sini, meluahkan kekecewaan mereka apabila menerima notis arahan mengosongkan tapak niaga untuk memberi laluan kepada Projek Landskap Negara.

Mereka turut melahirkan kebimbangan apabila mendakwa tidak disediakan tapak alternatif untuk membolehkan peniaga menjalankan operasi perniagaan, sementara menunggu tapak kekal, iaitu sebuah medan selera siap.

Bagaimanapun, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad menegaskan pihak mereka ada menyediakan tapak sementara, malah proses pembangunan medan selera juga akan berjalan tidak lama lagi.

Sumber: Sinar Harian