ALOR SETAR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah merupakan bantuan dari sebuah kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kebajikan bagi meringankan beban kos sara hidup rakyatnya di zaman ini.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, ia bukanlah "dedak" yang diberikan untuk meraih undi kepada Barisan Nasional (BN) sebagaimana yang ditohmah pihak tertentu sebelum ini.
"Kita harap dengan agihan BR1M ini akan dapat membantu keluarga-keluarga yang memang memerlukan bantuan daripada kerajaan. Inilah satu-satunya kerajaan yang membantu rakyat sebegitu rupa.
"Sumbangan dan bantuan ini bukan dedak kepada rakyat," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.
Ahmad Bashah berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan BR1M bagi daerah Kota Setar yang berlangsung di Pejabat Daerah Kota Setar, yang turut dihadiri ribuan penerima, di sini.
Jelas beliau, majlis berkenaan perlu dilaksanakan di Pejabat Daerah tersebut bagi golongan penerima BR1M yang belum membuka dan memiliki akaun bank yang terlibat dalam agihan bantuan kerajaan itu.
"Penerima-penerima BR1M yang hadir di sini hari ini adalah mereka yang tidak mempunyai akaun di bank-bank yang telah dilantik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk tunaikan baucar-baucar itu," jelasnya tentang majlis berkenaan.
Justeru itu, Ahmad Bashah menasihatkan agar penerima-penerima BR1M yang belum memiliki akaun bank supaya segera membuka akaun masing-masing bagi memudahkan mereka menerima bantuan tersebut pada masa yang akan datang.
Mengulas mengenai rungutan mereka yang gagal menerima BR1M gara-gara mendaftar syarikat masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), beliau menjelaskan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan pemberian bantuan kali pertama ini untuk mereka.
Jelasnya, golongan tersebut bagaimanapun akan diminta supaya mengemukakan penyata kewangan masing-masing kepada LHDN bagi membuktikan mereka layak untuk menerima BR1M pada agihan-agihan yang seterusnya.
Kata beliau, ia adalah bagi memastikan BR1M dapat disalurkan hanya kepada mereka yang layak sahaja menerima bantuan tersebut.
Menteri Besar itu turut menjelaskan bahawa agihan BR1M berkenaan sedang berlangsung di seluruh negeri ini dan agihan pertama bantuan itu dijangka akan selesai dalam tempoh terdekat pada bulan ini. -Kedahnews.com