Inilah Dia Pencetus Ilham Sebenar Penubuhan Tabung Haji


Kalau kita lalu di Jalan Tun Razak yang sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang di ibu negara, kita dah boleh lihat bangunan Tabung Haji yang tersergam indah itu. Namun yang paling penting, bukan sekadar bangunan, tapi jasanya dalam melahirkan jutaan jemaah negara menunaikan ibadah haji, yang satu ketika dulu seolah-olah satu misi yang sangat sukar untuk orang Islam di negara ini untuk berbuat demikian.

Namun tak ramai yang tahu siapa yang mencetus atau mengasas idea yang cukup ‘brilliant’ ini sehingga konsep Tabung Haji sekarang diguna pakai oleh banyak negara Islam di seluruh dunia.

Jawapannya tak lain tak bukan, ia lahir dari idea seorang anak Johor yang mempunyai Phd dalam bidang ekonomi dari Universiti Waseda, Jepun – PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ UNGKU ABDUL HAMID atau nama mesranya Pak Ungku.

Pada tahun 1959, ketika usianya baru 37 tahun, Ungku Aziz telah mengemukakan kertas kerja bertajuk ”Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan dan sejak itu idea beliau telah dikaji dan diperkembangkan sehingga apa yang kita lihat sekarang ini.

Daripada ‘ZERO’, Tabung Haji (TH) sekarang adalah Pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 bilion! TH juga telah menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan, pembangunan hartanah dan pembinaan, kewangan Islam, teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan pelancongan dan makanan halal dengan keuntungan bersih melebihi RM3 bilion setiap tahun! Pendeposit mereka juga dah cecah 8 juta orang.

Aku petik kata-katanya sewaktu diwawancara Utusan Malaysia tidak lama dulu mengenai bagaimana tercetusnya idea beliau untuk mewujudkan Tabung Haji.

” Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang, ”

Untuk rekod, Pak Ungku gemar membaca dan telah membaca lebih 70,000 buah buku sejak 70 tahun lalu. Beliau sendiri memiliki lebih 7,000 buku di beberapa tempat iaitu di rumah dan pejabatnya. Kamus saja ada 20 kamus yang masih dipakai di biliknya. Beliau telah menulis lebih 1,000 kertas kerja mengenai pelbagai bidang yang telah diterbitkan.

SAK: Aku difahamkan Pak Ungku dah uzur sangat sekarang. Umur pun dah 93 tahun. Ada teman yang bagitahu Pak Ungku sangat kurus berbanding sebelum-sebelum ini. Semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik untuk beliau…jasanya terlalu besar…bayangkan ‘saham’ pahala yang beliau dapat kerana atas inisiatifnya dah berjuta umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji… Allahuakbar…