Instagram Akan Kaburkan Gambar, Video Berunsur Sensitif


MEMAHAMI kehendak dan sensitiviti pengguna media sosial, Instagram bakal melaksanakan beberapa perubahan pada lamannya.

Perubahannya melibatkan gambar atau video yang berunsur sensitif akan dikaburkan sekiranya pihak Instagram menerima laporan daripada para pengguna.

“Meskipun gambar-gambar dan video ini tidak melanggar garis panduan kami, apabila seseorang dalam masyarakat Instagram sudah melaporkannya dan kemudiannya pasukan semakan kami akan mengesahkan sama ada ia adalah sensitif,” menurut satu kenyataan Instagram.

Bagaimanapun, sekiranya terdapat pengguna lain yang ingin melihat gambar atau video yang sudah dikaburkan itu, mereka boleh berbuat demikian dengan hanya klik pada catatan imej tersebut.

Selain itu, Instagram turut memperkenalkan “Two-Factor Authentication” kepada semua penggunanya.

Dengan kewujudan “Two-Factor Authentication” ini, akaun Instagram anda akan lebih selamat dari digodam kerana pengguna perlu menaip kod yang berbeza setiap kali masuk ke dalam aplikasi itu.

Untuk mengaktifkan ciri itu, pengguna hanya perlu klik pada ikon ‘gear’ di profil mereka dan memilih “Two-Factor Authentication.” –Kedahnews.com