Iran Lancar Ujian Peluru Berpandu Sasar 250 Kilometer


TEHRAN – Tentera laut Iran berjaya melaksanakan ujian peluru berpandu dan menembak sasaran yang terletak pada jarak 250 kilometer, lapor agensi berita tempatan, semalam.

“Minggu ini kami menguji senjata Hormuz-2 dan ia berjaya memusnahkan sasaran yang terletak sejauh 250 kilometer di Teluk Oman,” kata Komander Unit Udara Tentera Revolusi, Jeneral Amier-Ali Hadjizadeh yang dipetik agensi Fars dan Tasnim.

Menurut agensi berita tempatan, Hormuz-2 mampu mencapai sasaran sejauh 300 kilometer. Ujian senjata itu dijalankan ketika ketegangan meningkat antara Iran dan Amerika Syarikat.

Kelmarin, pegawai kanan Tentera Revolusi menuduh Amerika Syarikat sengaja meningkatkan provokasi selepas dua kejadian berasingan di rantau teluk minggu lalu.

“Kapal tentera laut Amerika Syarikat mengubah laluan antarabangsa ketika berada di Selat Hormuz dan secara tidak profesional mendekati kapal Tentera Revolusi dalam jarak 550 meter,” kata Mehdi Hashemi kepada laman web Sepahnews. – AFP