Isu Bekalan Air: PKR Kedah Tak Puas Hati

Zamri, (dua, kiri) ketika Program Santai Politik Pakatan Harapan bersama Bersatu Kedah di Pejabat Amanah Kedah
ALOR SETAR - Kemelut bekalan air bersih di Kedah bukan perkara baru malah krisis ini masih berlarutan hingga kini sejak ia mula tercetus ketika bulan puasa tahun lalu.

Naib Pengerusi PKR Kedah, Ir Zamri Yusuf berkata, Kedah merupakan negeri yang mempunyai banyak empangan, namun bekalan air bersih masih menjadi masalah.

“Secara peribadi saya tidak berpuas hati dengan projek-projek yang dilaksanakan tanpa mengambil kira realiti penduduk setempat.

“Contohnya, apabila kerajaan negeri mengambil langkah untuk menyelesaikan isu air, projek yang dilaksanakan mereka tidak dirancang dengan teliti.

“Apabila diperiksa, rupanya pam di empangan tidak berfungsi, dan ketika sampai di loji proses, kapasitinya tidak mencukupi untuk menghantar air,”katanya ketika menjawab soalan berkaitan permasalahan rakyat kedah di Program Santai Politik Pakatan Harapan bersama Bersatu Kedah di Pejabat Amanah Kedah, baru-baru ini.

Zamri berkata, catatan paras air tidak berhasil (NRW) di Kedah juga antara yang tertinggi dan melepasi paras nasional.

“Bacaan NRW kita sekarang sudah melepasi 50 peratus dan sepatutnya ia diambil iktibar dan diberi penekanan. Saya yakin sekiranya pembangunan negeri disusun dengan baik isu ini akan ada jalan penyelesaian,”katanya.

Menurutnya, masalah juga wujud apabila beberapa perancangan yang dibuat di Putrajaya tidak sesuai dengan trend penduduk Kedah.

“Contoh terdekat, adalah Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin berbangga dengan projek berkenaan, tetapi harga bagi sebuah rumah PR1MA adalah antara RM100,000 hingga RM400,000.

“Mungkin baginya pendapatan isi rumah sekarang sudah mencecah RM6,000 dan merasakan penduduk Kedah juga berkemampuan untuk memiliki rumah.

“Namun hakikatnya 95 peratus rakyat Kedah layak mendapat Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), jadi bagaimana mereka nak membeli rumah yang berharga RM150,000 itu?,”katanya.

Sumber: Sinar Harian