Isu Korea Utara: Jamil Khir, PAS Senada Seru Umat Islam Berdoa, Solat Hajat


ALOR SETAR - Seluruh umat Islam di negara ini diseru supaya berdoa dan memohon agar sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT di dalam menghadapi ketegangan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam seruannya turut meminta agar semua masjid dan surau di negara ini menunaikan solat hajat meminta agar 11 rakyat Malaysia yang kini dihalang keluar dari republik berkenaan selamat.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada Malaysia yang sedang menghadapi ketegangan hubungan diplomatik dengan Korea Utara ekoran daripada penahanan 11 orang  rakyat Malaysia di sana.

"Justeru, itu saya meminta semua Masjid-Masjid Utama Jakim iaitu Masjid Negara Kuala Lumpur, Masjid Putra Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya serta di semua masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk mengadakan Solat Hajat selepas Solat Jumaat bermula pada 10 Mac 2017 ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai.

"Di samping itu, saya juga memohon kerjasama dan jasabaik pihak Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di seluruh negara agar turut sama mengadakan  Solat Hajat disemua masjid di negeri masing-masing bermula pada tarikh berkenaan bagi mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada Malaysia dan seluruh rakyatnya.

"Saya menyeru semua umat Islam di seluruh negara agar dapat beramai-ramai menunaikan Solat Hajat tersebut sejurus selepas Solat Jumaat," kata beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Jamil Khir turut berharap agar konflik yang sedang menjadi perhatian seluruh dunia itu agar berjaya diselesaikan dengan baik.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata parti itu akan menganjurkan solat hajat di seluruh negara malam ini dan menggesa supaya semua ahlinya tidak terpedaya dengan propaganda yang tersebar di media sosial.

"Pada masa yang sama, semua ahli PAS dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai propaganda di media sosial yang tidak berfakta dan bertanggungjawab," katanya.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara kini di tahap paling tegang sejak kedua-dua negara menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973.

Ia adalah susulan kematian Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, selepas "diserang" 2 wanita yang difahamkan telah diupah pihak tertentu dan kini berada di dalam tahanan pihak berkuasa.

Sementara itu, Korea Selatan dalam satu kenyataan mendakwa kes pembunuhan tersebut merupakan komplot terancang Korea Utara, namun tuduhan tersebut yang ditolak Pyongyang.

Malaysia dan Korea Utara sudah pun menghantar pulang kedua-dua duta masing-masing dan Kerajaan Malaysia bertindak menghalang semua warga Korea Utara keluar dari negara ini susulan dari tindakan balas republik itu yang menjadikan 11 warga Malaysia sebagai "tebusan". -Kedahnews.com