Itu Cuma Khabar Angin, Kedah Masih Perlu Tan Cheng Hoe


ALOR SETAR – Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe diharap supaya kekal terus mengemudi skuad Helang Merah dalam fokus memburu kejuaraan Liga Super dan membawa pulang kejayaan bermakna bagi negeri Jelapang Padi.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, tiada apa yang perlu dibincangkan atau dipertikai mengenai status Cheng Hoe oleh Persatuan Bola Sepak Kedah ekoran prestasinya yang begitu menyerlah mengharumkan nama negeri ini.

"Kita tak bincang pun tentang itu.

"Tapi bagi saya, pengalaman dan khidmat beliau masih diperlukan di Kedah ini. Jadi setakat sekarang ini, ia cuma cakap-cakap diluar sajalah," katanya kepada Kedahnews.com, sekaligus menyifatkan dakwaan itu hanyalah khabar angin sahaja.

Sebelum ini, desas-desus mengatakan terdapat ura-ura yang mendakwa Cheng Hoe bakal digandingkan dengan Mario Gomez bagi mengendalikan skuad Harimau Malaysia ekoran kecemerlangan beliau mengemudi pasukan Kedah.

Menurut Badrol Hisham, mesyuarat eksekutif KFA yang diadakan malam kelmarin bertumpu kepada agenda penambahbaikan dan naik taraf Stadium Darul Aman yang melibatkan kos anggaran sebanyak RM9 juta.

Jelasnya, kerja-kerja menaik taraf itu akan dilaksanakan sepanjang Ramadhan ini kerana tiada sebarang perlawanan dalam tempoh tersebut.

"Yang dibincang adalah tentang kerja-kerja baik pulih stadium (Darul Aman). Ia membabitkan kerja menukar atau membaik pulih lampu limpah dan padang. Dijangka kerja-kera itu melibatkan kos RM3 hingga RM4 juta daripada nilai keseluruhan RM9 juta.

"Kita akan cuba pastikan ia siap pada bulan Ramadan ini kerana tiada perlawanan dalam jadual dalam tempoh itu, memang kosong jadual," katanya selepas majlis perasmian Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri di sini, petang semalam. - Kedahnews.com