PETALING JAYA - Pelakon Fattah Amin menyangkal dakwaan kononnya dia kini berkawan rapat dengan bekas personaliti TV3 iaitu Azrinaz Mazhar Hakim.
Fattah sebaliknya menjelaskan isu dia dikaitkan dengan Azrinaz adalah satu fitnah yang tidak pernah berlaku seperti mana diperkatakan.
"Bagi saya ia merupakan satu fitnah yang dilemparkan sehingga tersebar di laman sosial.
"Saya terpanggil untuk membuat kenyataan ini kerana perkara ia tidak benar dan tidak pernah berlaku," katanya.
Tambah Fattah dia juga terkilan dengan isu tersebut kerana tindakannya berdiam diri membuatkan perkara itu menjadi itu semakin besar.
"Saya cuba mengambil langkah berdiam diri dan bertenang tetapi nampaknya cerita tidak berasas ini semakin berleluasa dan saya terpanggil untuk membetulkan keadaan.
"Saya mohon jasa baik semua pihak supaya tidak memanjangkan perkara yang tidak berasas sehingga boleh jatuh sebagai fitnah.
"Secara tidak langsung ia akan mendatangkan kesan yang tidak baik kepada individu itu sendiri," jelasnya.
Menjelaskan situasi sebenar, Fattah berkata, Azrinaz berkunjung ke kafe miliknya iaitu Stalker Cafe yang terletak di Kota Damansara, sebagai pelanggan bersama rakan-rakannya yang lain.
Jelasnya gambar bersama Azrinaz yang dimuat naik oleh bekas personaliti televisyen itu di Instagram bukan suatu isu kerana ia tidak membawa maksud mereka sedang berkawan rapat.
"Azrinaz datang bersama kawan-kawannya dan yang lain juga memuat naik gambar saya bersama mereka dan persoalannya kenapa ada isu dan tuduhan terhadap saya dan dia.
"Ini adalah benda biasa yang peminat-peminat saya sering lakukan sebelum ini dan mungkin kerana Azrinaz adalah selebriti dan itu yang dijadikan bahan bualan sehingga jadi fitnah," ujarnya.
Sementara itu, Fattah berkata, dia dan Azrinaz mungkin dijadikan sasaran kerana faktor mereka berdua masih solo.
"Mungkin isu ini timbul kerana saya pun masih tiada teman istimewa dan Azrinaz pun masih solo lagi.
"Saya mengharapkan sokongan dari peminat-peminat saya daripada sudut positif dan jangan mudah percaya dengan gosip seperti ini," katanya.
Isu ini menjadi kontroversi apabila Azrinas menerusi Instagram miliknya kira-kira dua minggu lalu memuat naik gambarnya bersama Fattah
Dalam status di Instagram itu Azrinaz menulis: “I nak tidur tapi dia ajak minum supper sebab malam minggu katanya. Sekali sekala oklah.”
Foto itu bagaimanapun menerima kritikan orang ramai khususnya peminat Fattah yang antara lain mengatakan mereka pasangan yang tidak sesuai.
Dalam perkembangan lain, Fattah berkata pada 15 Mac ini dia akan berkongsi sesuatu yang istimewa untuk peminatnya namun tidak mendedahkan secara terperinci mengenai perkara itu.
Sumber: mStar