Jawatankuasa Buat Laporan Dakwaan Gajah Didera


LANGKAWI – Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyediakan laporan berhubung seekor gajah yang didakwa telah didera untuk tujuan aktiviti pelancongan di sini, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Azimuddin Bahari dan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Abdul Kadir Abu Hashim telah dipertanggungjawabkan untuk menyediakan laporan berkenaan.

“Selepas itu kami akan menilai dan membuat keputusan yang terbaik bagi kepentingan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melawat operasi Langkawi Elephant Adventure (LEA) di Oriental Village di sini semalam.

Menurutnya kementerian itu telah menerima aduan dari beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dari dalam dan luar negara yang mendakwa gajah yang dinamakan Lasah berumur 36 tahun itu telah dirantai untuk tempoh yang lama dan dalam keadaan uzur.

NGO ini turut menjalankan petisyen untuk meminta kerajaan memindahkan gajah berkenaan ke Pusat Perlindungan di Kuala Gandah, Pahang.

Wan Junaidi berkata sebelum ini Perhilitan telah mengemukakan laporan kepadanya dengan menyatakan LEA menjalankan operasi mereka berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh jabatan itu.

“Oleh kerana banyak pihak seperti Wildlife NGOs yang berjumpa dengan saya, maka saya tidak dapat menafikan perasaan mereka dan datang (untuk meninjau sendiri operasi LEA),” katanya.

Beliau juga meminta pakar zoologi dari LEA untuk memberikan input mereka bagi membantu jawatankuasa itu dalam menyiapkan laporan berkenaan.

“Pakar mereka (LEA) mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dan mengetahui amalan terbaik dalam penjagaan gajah ini,” katanya.

Sementara menunggu penyiapan laporan itu, beliau berkata LEA masih lagi dibenarkan untuk meneruskan operasi mereka. – BERNAMA