Jenazah Pelajar Lemas Di New Zealand Dijangka Tiba Di KLIA Malam Ini


ALOR SETAR – Jenazah pelajar Malaysia yang lemas di New Zealand Ahad lalu, Abdul Azim Amzar Azmi, 21, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.45 malam ini.

Pengarah Bahagian Penganjuran Majlis Amanah Rakyat (Mara) Abdul Aziz Hassan berkata, pesawat yang membawa jenazah Abdul Azim Amzar dari Auckland, New Zealand dijadualkan berlepas esok pada 2.40 petang (waktu tempatan).

“Selepas tiba di KLIA, jenazah tersebut akan dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Belukar, Hutan Kampung di sini pada malam itu juga menggunakan van jenazah,” katanya ketika ditemui pemberita ketika menziarahi keluarga Allahyarham di sini semalam.

Van yang membawa jenazah itu dijangka tiba di rumah keluarganya sekitar 4 pagi dan urusan pengebumian akan dilakukan kira-kira pukul 10 pagi atau sebelum solat Jumaat.

“Kami juga mendapat maklumat bahawa jenazah telah disembahyangkan sekitar 9 pagi tadi di Auckland dengan dihadiri pegawai, kenalan dan penduduk Malaysia di sana,” katanya.

Allahyarham yang merupakan pelajar tajaan Mara adalah penuntut bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Waikato, Hamilton dan mangsa dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi di tasik itu petang Ahad. – BERNAMA