Jerung Itu Ditangkap Di Luar Kawasan Taman Laut Pulau Kapas - LKIN Marang


MEDIA sosial baru-baru ini heboh dengan penyebaran gambar dan video nelayan yang berjaya menangkap seekor ikan jerung di sekitar Taman Laut Pulau Kapas, Marang, Terengganu.

Gambar itu lantas menjadi tular serta menimbulkan spekulasi liar yang mencetus kebimbangan sesetengah pihak yang berpendapat kawasan pelancongan tersebut sudah tidak selamat untuk disinggahi.

Lebih parah, para pelancong yang berhasrat ke pulau itu juga dinasihati untuk menangguhkan percutian.

Bagaimanapun, dakwaan bahawa ikan pemangsa itu terdapat di kawasan perairan itu dinafikan Jabatan Taman Laut Negeri (JTLN).

Menurut pengarahnya, Muhammad Nur Ashry Bassari, berita yang tersebar itu itu tidak tepat kerana jerung itu ditangkap nelayan di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas iaitu melebihi satu batu nautika dari perairan berkenaan.

“Sebaik dimaklumkan mengenai berita itu, saya meminta pegawai menyiasat dengan merujuk kepada operator pelancongan dan nelayan sebelum mendapati jerung itu ditangkap di luar kawasan Taman Laut Pulau Kapas dan dinaikkan bersama hasil tangkapan lain di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Negeri (LKIN) Marang.

“Ada yang mengambil gambar jerung itu dan menyebarkannya hingga menjadi viral dengan menyatakan ikan itu kini mengganggu perairan pulau pelancongan itu,” katanya, memetik laporan BH Online.

Berikutan itu, Nur Ashry meminta orang ramai tidak bimbang dengan perkara itu dan pihaknya akan sentiasa melakukan pemantauan susulan penemuan jerung di perairan negeri itu demi keselamatan orang awam. –Kedahnews.com