Jong-nam: Malaysia Tetap Bertegas Dapatkan Profil DNA


KUALA LUMPUR – Malaysia tetap bertegas untuk mendapatkan profil asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan secara muktamad identiti mangsa bunuh dari Korea Utara Kim Chol, yang dirujuk media sebagai Kim Jong-nam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata Malaysia akan beri keutamaan tertinggi untuk mengetahui identiti sebenar si mati, yang mayatnya ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur sejak tiga minggu lepas.

Katanya, walaupun terdapat protokol tentang cara mengendalikan mayat yang tidak dituntut, pendekatan yang digunakan dalam kes ini berbeza daripada biasa berikutan sensitiviti yang wujud.

“Kami memang ada protokol dari segi tempoh masa, tetapi dalam kes ini, saya tidak fikir kami perlu dikekang oleh protokol berkenaan. Kami perlu dapatkan DNAnya.

“Kami tahu warisnya berada di pelbagai tempat di dunia…tapi terserahlah kepada polis bagaimana mereka hendak dapatkan profil DNA para waris itu untuk memudahkan kami menyelesaikan isu pengenalan diri si mati,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Dr. Subramaniam berkata demikian apabila ditanya berapa lamakah kerajaan merancang untuk menyimpan mayat mangsa sekiranya tiada anggota keluarga tampil menuntutnya.

Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, yang hidup tersisih, dilaporkan dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Februari ketika menunggu penerbangan untuk ke Macau.

Dia memasuki Malaysia dengan pasport menggunakan nama Kim Chol.

Jong-nam diserang dua wanita, yang menyapu mukanya dengan tapak tangan mereka yang mengandungi bahan yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Lelaki itu meninggal dunia ketika dibawa ke hospital.

Dr. Subramaniam berkata pada Isnin bahawa penentuan identiti si mati adalah penting bagi mengelak tercetus sebarang pertikaian. – BERNAMA