JPNK Rampas Balak Bernilai RM5,000 Di Baling


ALOR SETAR – Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki kerana disyaki mengangkut balak bernilai kira-kira RM5,000 secara haram di jalan Kampung Teluk Durian, Baling, Isnin lepas.

Timbalan Pengarah (Operasi) JPNK, Mohd Rahim Ramli berkata tangkapan ke atas lelaki berusia 30 tahun itu dibuat sepasukan penguatkuasa dari daerah Kedah Selatan, selepas menerima maklumat daripada anggota Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada 6.30 petang.

“Lelaki itu ditahan selepas gagal mengemukakan pas pemindahan balak manakala pemeriksaan yang dijalankan mendapati lori tersebut membawa 17 batang balak daripada jenis medang, terap dan durian tanpa cukai.

“Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai melakukan aktiviti tersebut sejak tiga hari lalu malah mengaku menjual balak yang diangkut ke sebuah kilang di Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mohd Rahim berkata kesemua balak yang dirampas itu disita untuk tindakan lanjut manakala lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kami akan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) untuk mengenakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya. – BERNAMA