Kaki Sangkut Di Lubang Jamban PASTI, Sejam Terpaksa Tahan Sakit

ANGGOTA bomba memecahkan lubang tandas di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Tanjung Malim bagi mengeluarkan kaki kiri seorang kanak-kanak yang tersangkut tengah hari tadi. - Foto ihsan bomba
TANJUNG MALIM - Seorang budak lelaki berusia lima tahun terpaksa menahan kesakitan hampir sejam selepas kakinya tersangkut dalam lubang tandas di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Falah Taman Sekiah Makmur di sini, tengah hari semalam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim, Zaini Salleh, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 tengah hari dan sebaik tiba di lokasi mendapati kaki kiri seorang kanak-kanak tersangkut dalam lubang tandas dalam bilik air premis berkenaan.

"Seorang guru di situ memberitahu bahawa kanak-kanak itu ingin mandi sebelum tergelincir dan kaki kirinya termasuk ke dalam lubang tandas jenis mencangkung.

"Guru berkenaan kemudian cuba mengeluarkan kaki mangsa tetapi gagal sebelum menghubungi pasukan kami," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zaini berkata, pihaknya cuba mengeluarkan kaki mangsa secara biasa tetapi gagal dan kemudian membuat keputusan memecahkan lubang tandas itu selepas mendapati kaki kanak-kanak itu sudah membengkak dan berwarna kebiru-biruan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memecahkan lubang tandas itu sebelum menghantar kanak-kanak itu ke Klinik Kesihatan Tanjung Malim menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) pasukan itu.

Zaini berkata, operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 1.44 tengah hari.

Sumber: BH Online