KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Nordiana tidak meletakkan keutamaan untuk mencari jodoh buat masa ini kerana belum menemui calon suami yang sesuai.
Katanya yang mesra disapa Nana, 33, bukan bermaksud dia terlalu cerewet sebaliknya menganggap perkara jodoh bukan sesuatu yang boleh dibuat main-main.
“Ramai yang bertanya Nana bila lagi nak bagi Rayyan seorang ayah dan apa yang boleh Nana katakan, Nana tak jumpa lagi calon sesuai dan tidak mahu kalut fikirkan soal ini. Just follow with the flow.
“Lagi pula kalau ikutkan Rayyan, dia tidak mahu Nana kahwin sebab dia hanya nak abah dia sahaja… biasalah budak-budak kan,” katanya.
Nana memilki sorang anak tunggal iaitu Mohamad Rayyan Nakhaie, 8, hasil pekahwinannya dengan Allahyarham pelakon Mohd Faizal Yusop.
Dalam pada itu, kata pemilik nama Siti Nordiana Alias ini lagi, sehingga kini dia selesa menggalas tugas sebagai seorang ibu dan ayah buat anaknya itu.
Di samping itu, kata Nana dalam memastikan anaknya tidak terabai didikan ilmu agama dan akademik diberikan setiap minggu apabila ada guru tuisyen dan ustaz datang ke rumah untuk mengajar mengaji Al-Quran.
“Rayyan merupakan harta dunia akhirat Nana. InsyaAllah hajat tahun ini Nana rancang nak bawa dia bercuti ke tempat-tempat sejuk luar negara selain merancang menjalani Umrah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana bakal hadir dengan single terbaru berjudul ‘Terus Mencintai’ ciptaan dia sendiri berdasarkan pengalaman cinta lalunya.
Selain itu, dia juga akan mengeluarkan produk gincu bibirnya sendiri yang diberi nama SND Lipstick dalam waktu terdekat.
Sumber: mStar