ALOR SETAR - Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol dikatakan menjadi punca sebenar di sebalik ketegangan yang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara susulan dari kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, Kim Jong-nam.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, Kang Chol merupakan individu yang bertanggungjawab atas segala yang berlaku antara kedua negara ekoran kenyataannya yang mencetus konflik.
"Jong-nam ditemui mati di dalam negara kita. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa di negara ini untuk menyiasat kes kematian itu dan hasilnya menunjukkan dia disyaki sebagai mangsa kes pembunuhan.
"Kenapa pula Kang Chol tiba-tiba tuduh bersekongkol dengan Korea Selatan dalam kes kematian Jong-nam? Dia kata pula siasatan pihak berkuasa di negara kita tidak boleh dipercayai? Atas dasar fakta apa dia katakan begitu? Apa asasnya?
"Dia tidak siasat kes kematian Jong-nam. Dia tidak punya apa-apa bukti, namun berani tuduh yang bukan-bukan terhadap Malaysia?," katanya, mempersoal tindakan biadap Kang Chol ketika reaksi awal kes kematian Jong-nam ketika ditemubual Kedahnews.com di sini, hari ini.
Tegas Syed Mohd Johan Rizal, Duta Korea Utara itu sepatutnya menjaga hubungan di antara Korea Utara dan Malaysia dengan melaporkan keadaan berdasarkan fakta dan laporan siasatan yang sah dari pihak berkuasa di negara ini kepada kepimpinan republik itu.
"Namun dia pilih untuk bercakap berdasarkan persepsi peribadi? Duta jenis apakah itu? Jika dia tidak percaya pada pihak berkuasa di sini, mengapa jadi Duta di sini? Ini melibatkan soal hubungan antara dua negara, bukan soal main-main.
Syed Mohd Johan Rizal turut mempertikai keengganan Kang Chol untuk hadir ketika dipanggil Kementeria Luar bagi memperjelaskan kenyataannya itu.
Kata beliau, ketidakhadiran Kang Chol bukan saja menunjukkan dia tersasar dalam membuat kenyataan yang berbaur prejudis, malah mungkin telah menyedari tentang kegagalannya berperanan sebagai Duta yang baik di negara ini.
"Dia mungkin sedar sikap prejudis dan persepsi melulunya itu telah memakan diri. Mungkin kerana itu dia takut untuk berdepan Kementerian Luar. Jadi, mengapa dia tidak meminta maaf saja secara terbuka dan menarik balik kenyataan biadap itu?
"Malah, tindakannya itu sendiri telah memburukkan keadaan. Berdiam diri hingga menimbulkan salah faham kepimpinan tertinggi di negaranya yang kini menjadikan 11 rakyat Malaysia menjadi 'tebusan'? Itulah kesan dari tindakan seorang Duta yang tdak tahu tugasnya," katanya lagi membidas Kang Chol.
Jelas Pengerusi Kelab Belia Darulaman itu, Korea Utara sendiri berkemungkinan mendapat laporan yang salah dari Kang Chol sehingga bertindak menghalang 11 rakyat Malaysia untuk keluar dari negara itu.
Justeru itu, beliau memandang tinggi kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang bertindak tegas menyuarakan pendirian Malaysia yang tidak berkompromi dengan sesuatu yang melibatkan keselamatan rakyat dan maruah negara ini.
Ketegasan Mohd Najib terhadap tindakan melulu Korea Utara itu disifatkan sebagai tepat dan Korea Utara perlu memberi reaksi positif atas gesaan Kerajaan Malaysia untuk membebaskan 11 warga negara ini yang kini bagai "tebusan" di republik berkenaan.
"Jika mahu redakan keadaan dan berpandangan jauh dari sudut diplomatik kenegaraan, Korea Utara perlu benarkan semua rakyat Malaysia yang ada di sana untuk keluar dari negara itu seberapa segera. Itu tindakan yang sepatutnya sekarang," ujarnya.
Namun begitu, Syed Mohd Johan Rizal tetap menegaskan pendiriannya bahawa Kang Chol merupakan individu yang bertanggungjawab di atas ketegangan yang berlaku di antara Malaysia dan Korea Utara.
Tegas beliau, terpulang kepada Korea Utara untuk menyedari hakikat sebenar tersebut dan sama ada mahu bertindak terhadap kelemahan Duta republik berkenaan.
"Pada saya, Kang Chol puncanya. Korea Utara patut sedar hal itu. Sama mahu mereka mahu ambil tindakan terhadapnya atau tidak, itu terpulang. Namun dalam penelitian saya, dialah punca," tegasnya. -Kedahnews.com