KDN Nafi Filem Power Rangers Disekat


KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan portal berita pro-pembangkang kononnya filem Power Rangers bakal disekat daripada ditayangkan di negara ini.

KDN dalam satu kenyataan media berkata, filem itu malah telah diberi kelulusan dengan klasifikasi P13 oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada 22 Mac lalu.

“LPF mendapati tiada sebarang unsur berkaitan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender, Queer (LBGTQ) dalam filem itu. Kelulusan itu telah disampaikan kepada pengedar pada 22 Mac 2017,” kata kenyataan itu semalam.

Sehubungan itu, KDN berkata, tiada isu kelewatan keputusan penapisan filem Power Rangers.

Justeru, kata KDN, tindakan syarikat untuk menangguhkan penjualan tiket filem itu tiada kaitan dengan LPF.

Media propembangkang melaporkan rakyat Malaysia berasa kecewa kerana filem Power Rangers berhadapan kesukaran ditayangkan di pawagam Malaysia ekoran memaparkan watak gay.

Media terbabit turut melaporkan sebuah rangkaian panggung wayang utama di negara ini telah menggantung jualan tiket filem itu.

Laporan media propembangkang itu menimbulkan kemarahan ramai rakyat Malaysia ke atas kerajaan kerana berasa terlalu kecewa filem Power Rangers lewat ditayangkan.

Sebelum ini ramai rakyat Malaysia turut menyatakan rasa marah kepada kerajaan kerana filem Beauty and the Beast yang memaparkan watak gay lewat ditayangkan kerana perlu melepasi tapisan LPF. -Kedahnews.com