Keaslian Telefon Hitler Dijual RM1.07 Juta Diragui


TELEFON yang menjadi rebutan ramai kerana dikatakan digunakan oleh Adolf Hitler dan dijual pada harga RM1.07 juta dalam satu acara lelongan minggu lepas, telah diragui akan keasliannya.

Ia dijual oleh seorang lelaki Britain, Ranulf Rayner kepada seorang pembeli yang tidak didedahkan identitinya selepas menyimpannya selama 72 tahun.

Ranulf bagaimanapun menolak keraguan mengenai kesahihan telefon tersebut sebaliknya mendedahkan penjualan telefon itu hanya mengakibatkan dia berasa sedih dan menyesal apatah lagi dua anaknya tidak membenarkan telefon itu dijual.

Telefon berkenaan telah diserahkan oleh tentera Rusia kepada bapanya, Sir Ralph Rayner yang juga bekas seorang tentera pada 1945.

Telefon yang tertulis nama Hitler dan swastika itu sebelum ini disebut-sebut untuk dijual pada RM2.2 juta dalam acara lelongan di Maryland namun tidak kesampaian selepas pakar-pakar mencetuskan keraguan mengenai kesahihannya.

Bagaimanapun, ia berjaya juga dijual oleh Ranulf dengan harga yang tinggi.

Ia didakwa digunakan oleh Hitler untuk memberikan arahan kepada pegawai-pegawainya termasuk mereka yang berkhidmat di kem tahanan bagi membunuh berjuta-juta orang Yahudi.

Menurut sumber, telefon itu juga digunakan ketika Hitler memerintahkan pembunuhan adik iparnya. – Kedahnews.com