Abdul Ghani menunjuk spesies ikan dilarang dibuang ke sungai dan tasik hingga boleh mengancam ekosistem di dua kawasan tersebut. |
KUALA NERANG - Ekosistem di tasik dan sungai sekitar Padang Terap dikenal pasti masih terkawal dengan mengekalkan spesies hidupan air sedia ada.
Pegawai Jabatan Perikanan Padang Terap, Abdul Ghani Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa memantau tasik dan sungai di kawasan berkenaan supaya tidak tercemar dengan ternakan ikan lain yang boleh menjejaskan ekosistem di situ.
Tambahnya, mereka juga sering membuat pemantauan di sungai dan tasik di daerah itu kerana bimbang spesies ikan sedia ada akan pupus akibat kedatangan ikan dari luar.
“Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan bagi mereka yang cuba merosakkan ikan dari sumber berkenaan. Ini menunjukkan penduduk di sini sentiasa menjaga ekosistem di daerah itu.
“Bagi mengekalkan ekosistem di kawasan berkenaan, Jabatan Perikanan Padang Terap juga sentiasa mengekalkan hasil perikanan di sungai dan tasik apabila sentiasa mengadakan program pelepasan benih ikan sejak 2009 hingga 2017 sebanyak 578,950 benih ikan dan udang,” katanya.
Menurut Abdul Ghani, melalui program itu, pelbagai jenis ikan dilepaskan seperti ikan lampam sungai, lampam jawa, baung, kelah, sebarau dan udang galah.
Katanya, ini bertujuan bagi mengekalkan hasil perikanan itu di sepanjang saliran di daerah itu.
Bagaimanapun, memang tidak dinafikan spesies ikan luar terutama ikan tilapia dan keli afrika turut terdapat di perairan di Padang Terap, tetapi masih lagi dapat dikawal.
“Ini disebabkan berlakunya banjir pada masa lalu hingga menyebabkan ikan spesies luar terutama keli afrika dan tilapia turut mendiami sepanjang perairan di Padang Terap. Dua jenis ikan ini sering diternak dan berlaku banjir menyebabkan air kolam melimpah hingga membawa ikan itu ke sungai berdekatan.
"Ikan itu boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekologi di habitat baru dan spesies itu juga dikatakan cepat membiak hingga boleh mengancam pembiakan ikan sedia ada.
"Bagaimanapun, sehingga hari ini masalah itu masih lagi terkawal dan tidak memberi kesan kepada ikan sedia ada,” katanya.
Jabatan Perikanan menasihati orang ramai supaya tidak melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai atau tasik .
Ini adalah bagi menjaga keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan umum.
“Orang ramai yang tidak mahu lagi memelihara ikan yang dilarang boleh menghubungi Pejabat Perikanan daerah untuk tindakan sewajarnya. Ia mungkin berguna untuk kajian tertentu, pendidikan atau dibuat pelupusan sewajarnya.
"Mereka yang didapati bersalah membuang ikan yang dilarang itu boleh dikenakan Akta Perikanan 1985 iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian