Keluar Parti, Krisis Makin Terserlah Dalam PPBM


ALOR SETAR - Tindakan sebahagian ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Baling yang meninggalkan parti petanda awal krisis dalamannya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata masalah parti itu bukan sekadar bertambah parah, malah hanya menunggu masa menuju ke arah kehancuran.

Katanya keadaan yang berlaku itu nyata menunjukkan bahawa pimpinan PPBM sedia ada belum mampu menunjukkan nilai kepemimpinan yang tinggi terutamanya apabila berhadapan dengan kemelut serta krisis.

"Kita sama sekali tidak hairan mahupun terkejut dengan tindakan ahli PPBM Bahagian Baling yang membuat keputusan keluar parti kerana bagi kita ini adalah petanda awal wujudnya krisis dalaman dalam kalangan pemimpin mereka," katanya dalam kenyataan, di sini semalam.

BH hari ini melaporkan 13 ahli diketuai bekas Pengerusi PPBM Baling, Ali Ahmad, bertindak keluar parti selepas masing-masing dikatakan tidak berpuas hati dengan isu pelantikan jawatankuasa baharu bagi PPBM di kawasan itu pada Februari lalu.

Dalam laporan itu, lebih ramai lagi ahli dijangka meninggalkan PPBM dengan jumlah keseluruhan dianggar membabitkan kira-kira 500 orang.

Pada masa sama, Shaiful Hazizy berkata, pihaknya melihat punca pemberontakan dalaman ini disebabkan wujudnya beberapa kem kepimpinan di dalam parti dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Katanya, malah tindakan pucuk pimpinan PPBM enggan mengiktiraf Anina Saadudin sebagai Ketua Srikandinya turut mengundang kepada wujudnya masalah dalaman itu, malah sehingga kini parti terbabit dilihat masih gagal menubuhkan sayap wanitanya secara sah.

"Tindakan pimpinan PPBM melantik orang luar memimpin sesebuah kawasan juga boleh disimpulkan bahawa mereka sudah ketandusan kepimpinan sehingga terpaksa melantik pemimpin yang tangkap muat, " katanya.

Sumber: BH Online