ALOR SETAR - Keluarga mangsa kemalangan yang maut di Kilometer 134 Lebuhraya Utara Selatan dari Permatang Pauh ke Kepala Batas semalam berura-ura untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap remaja perempuan yang menjadi punca kemalangan terbabit.
Bapa mangsa, Rosli Lin yang kesal dengan insiden yang mengorbankan anaknya itu turut meluahkan rasa ralat terhadap tindakan remaja perempuan itu yang memandu laju bertentangan arus sebelum merempuh anaknya, Mohamad Fandi Rosli, 26, yang maut dalam kejadian berkenaan.
"Depa kata kereta itu ambil laluan yang menentang arus. Nampak dalam video yang depa tunjuk kereta tu laju menentang arus.
"Rasa ralatlah sebab anak kita ikut laluan itu.. nak saman baliklah kalau boleh," katanya ketika ditemubual media di Tikam Batu, lewat petang semalam.
Meskipun redha atas pemergian anak sulungnya itu, Rosli menjelaskan bahawa seluruh keluarganya terkilan dengan kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab pemandu kereta Gen-2 sehingga mengorbankan anaknya yang baru mendirikan rumah tangga.
Allahyarham Mohamad Fandi difahamkan baru mendirikan rumah tangga dengan Norashikin Halim, 26, yang merupakan seorang jururawat di Hospital Selayang.
Allahyarham Mohamad Fandi telah disembahyangkan di Masjid Pokok Asam dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pokok Asam, di Tikam Batu, Sungai Petani, lewat petang semalam.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi arah ke utara itu yang berlaku berhampiran susur masuk ke Permatang Pauh menyebabkan Mohamad Fandi mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.
Polis percaya remaja perempuan berumur 19 tahun itu yang memandu Proton Gen-2 memandu dalam keadaan khayal.
"Kereta jenis Proton Gen-2 itu dipandu secara melawan arus dari Sungai Dua menghala Butterworth dan melanggar bahagian hadapan kereta Perodua Kelisa yang dipandu Mohamad Fandi.
"Kejadian itu menyebabkan kereta dipandu wanita terbabit terbabas ke sebelah kiri dan melanggar sebuah motosikal sebelum ia berpusing beberapa kali dan melanggar pula dua kereta serta sebuah van kilang," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, semalam. - Kedahnews.com