Kemalangan Di Kuala Nerang: "Maafkan Anak Perempuan Saya"


ALOR SETAR – Bapa kepada gadis berusia 16 tahun yang didakwa melanggar seorang penunggang motosikal berusia 65 tahun sehingga maut merayu permohonan maaf daripada keluarga mangsa.

Lelaki berusia 59 tahun dari Kuala Nerang itu berkata, beliau faham sukar bagi keluarga mangsa untuk menerima berita kematian ini.

Bagaimanapun, beliau tetap berharap mereka dapat memaafkan anak perempuannya.

“Ia satu kesalahan besar. Semuanya sudah takdir. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak perempuan saya,” katanya, Sabtu.

Lelaki itu yang tidak mahu dikenali berkata, beliau tidak tahu mengapa anak perempuannya mengambil keputusan untuk memandu kereta pada hari tersebut.

“Sebelum ini dia tidak memandu kereta dan saya benar-benar tak tahu apa yang membuatkannya bertindak sedemikian.

“Saya tahu tarikh 24 Mac 2017 akan menjadi tarikh yang anak saya akan ingat sampai bila-bila.

“Kejadian ini akan sentiasa menghantui dirinya,” katanya.

Penunggang motosikal, Lijah Mat Hashim meninggal dunia dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Musa di Kuala Nerang dekat sini pada pukul 5 petang Jumaat.

Lijah yang bekerja sebagai penoreh getah, meninggalkan suami Abdul Wahab Junus, 65, dan enam anak berusia antara 21 dan 46 tahun.

Polis berkata, remaja itu, yang memandu tanpa lesen, gagal menekan brek dan merempuh motosikal Lijah yang sedang keluar dari lorong dan cuba untuk menyeberang jalan.

Gadis itu hilang kawalan keretanya dan terjatuh ke dalam parit.

Pemandu dan seorang penumpang wanita, juga berusia 16 tahun mengalami cedera ringan.

Lelaki itu berkata beliau masih tidak mendapat maklumat daripada anak perempuannya kerana anaknya itu masih trauma.

“Dia sekarang ada di rumah, tetapi kami tak dapat bertanya apa-apa kerana keadaannya.

“Saya baru balik kursus haji ketika itu dan berita ini diberitahu oleh seorang kawan.

“Apabila saya sampai di tempat kejadian, saya seolah-olah tak percaya apabila melihat melihat kereta saya dalam parit dan dikelilingi anggota bomba.

“Saya juga melihat ambulans membawa mangsa ke hospital,” katanya, sambil menambah anak perempuan dan rakannya telah dibawa ke hospital sebelum beliau tiba.

Tambahnya, beliau telah bertemu ahli keluarga Lijah semasa upacara pengebumian di tanah perkuburan Islam Kampung Musa di Padang Terap pada 11 pagi Sabtu.

Abdul Wahab, seorang petani, berkata bapa gadis itu telah meminta maaf daripadanya.

“Kami tak dapat kata apa-apa pada masa ini.

“Isteri saya telah meninggalkan kami dan dia hilang selama-lamanya.

“Berilah masa untuk kami meringankan kesedihan dulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Sumber: mStar