Kenali Lelaki Malaysia Cium Dahi Raja Salman Di Kuala Lumpur


SEKEPING foto yang memaparkan seorang lelaki Malaysia mencium dahi raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud menjadi tular dalam kalangan pengguna media sosial di seluruh dunia.

Memetik laporan stesen Al-Arabiya, gambar keakraban mereka berdua mengundang minat minat para netizen tempatan untuk mengetahui siapakah lelaki yang dilihat begitu istimewa dengan pemimpin tertinggi Arab Saudi itu.

“Nama sebenar lelaki itu ialah Sheikh Hussain Yee, seorang rakyat Malaysia berketurunan Cina dan merupakan seorang sarjana ilmu yang memeluk Islam pada usia 18 tahun,” petik kenyataan media berkenaan.

Lapor Al-Arabiya lagi, Hussain Yee mempunyai sejarah yang panjang dengan Arab Saudi kerana beliau merupakan mahasiswa Universiti Islam Madinah dengan menuntut dalam bidang Hadis dan Islam di institusi berkenaan.

Beliau merupakan presiden dan pengasas pertubuhan Al-Khaadem di Malaysia serta merupakan penasihat bagi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), iaitu badan yang memfokuskan kepada bimbingan para mualaf.

Malah, Sheikh Yee juga pernah menjadi Pengarah Dakwah untuk Pusat Islam di Hong Kong pada 1984-1985 ketika pulau tersebut masih lagi di bawah pentadbiran kerajaan British sebelum diserahkan kembali kepada China.

Beliau juga merupakan kawan baik kepada ‘Ahmad Deedat Junior‘, iaitu Dr. Zakir Naik dan sering diundang bagi menyampaikan ceramah menerusi saluran Peace TV, yang diasaskan sendiri oleh pedakwah India itu.


Raja Salman tiba di Malaysia pada 26 Februari lalu bagi melakukan lawatan negara julung kali selama empat hari sebelum mengunjungi pula Indonesia mulai Rabu dalam siri jelajah ke beberapa buah negara Asia.

Ketika di negara ini, Raja Salman yang menjadi pemerintah sejak 2015; turut dianugerahi Doktor Falsafah Kehormat oleh Univerasiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain media Arab, media Indonesia juga melaporkan tentang foto yang tular itu sehingga artikel mengenai foto Sheikh Yee menjadi berita yang paling popular sepanjang 24 jam di Arab Saudi. –Kedahnews.com