Kerajaan Negeri Beri Perhatian Khusus Atasi Masalah Air Di Merbok


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air di kawasan Merbok dan mengarahkan supaya SADA mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan kaedah terbaik mengatasi masalah yang meresahkan rakyat di sana.

Exco Kerajaan Negeri, Dato' Badrol Hisham Hashim berkata, kaedah terbaik untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan itu telah dikenal pasti dan kerajaan negeri sedang berusaha memberikan khidmat terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut dari sudut jangka masa pendek dan panjang.

"Saya sudah arahkan Ketua Pegawai Eksekutif SADA untuk buat mesyuarat khusus bagi mengatasi masalah bekalan air di Merbok terlebih dahulu. Sebab masalah di situ memang kritikal.

"Kalau nak dibandingkan dengan kawasan-kawasan lain, kita memang utamakan Merbok. Kalau di Pokok Sena, walaupun ada masalah air juga di sana, tapi di Pokok Sena ada loji yang boleh salurkan air. Masih ada sumber bekalan air yang baik.

"Tapi kalau di Merbok itu, sumber air di sana hanyalah mengharapkan air bawah tanah sahaja, tidak ada sumber lain lagi. Jika kering air di bawah tanah, maka teruklah. Sebab itu kita utamakan Merbok buat masa ini," katanya kepada Kedahnews.com, di sini petang semalam.

Tegas Badrol Hisham, pihaknya sedar mengenai masalah bekalan air di Merbok dan memohon agar penduduk di kawasan tersebut supaya bersabar menghadapi ujian Allah, namun menegaskan bahawa kerajaan negeri sedang bekerja keras untuk mengatasi masalah tersebut demi kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

"Kita dengan rendah diri mohon maaf atas apa yang berlaku. Masalah ini sudah berpuluh tahun lamanya dan gagal diselesaikan. Tapi hari ini, kerajaan negeri kita sedang cuba melakukan yang terbaik untuk mengatasi masalah yang sebelum ini gagal diselesaikan.

"Cuma saya mohon semua supaya sabar kerana kita sedang usaha," ujar beliau.

Kata Adun Kuala Nerang itu, ekoran kawasan Merbok bergantung sepenuhnya denga sumber air bawah tanah, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk menaiktaraf loji air di Gurun untuk menyalurkan bekalan air bersih ke kawasan tersebut.

Jelas beliau, peruntukan yang diperoleh dari Kerajaan Pusat telah diperoleh dan projek naik taraf loji itu dijangka akan selesai dalam tempoh dua tahun, sekaligus mengatasi masalah bekalan air bersih di Merbok bagi jangka masa panjang.

"Kita tahu tentang masalah bekalan air di Merbok. Memang dalam negeri ini, Merbok merupakan kawasan paling kritikal. Merbok sebenarnya bergantung sepenuhnya pada air di bawah tanah.

"Perkembangan terkini, kita sudah dapat peruntukan dari Kerajaan Pusat untuk 'upgrade' loji air di sebelah Gurun. Jadi, loji itu akan dapat disalurkan terus ke kawasan Merbok untuk menampung kegunaan air untuk rakyat di sana.

"Itu dari sudut jangka masa panjang. Saya yakin dalam tempoh dua tahun segala masalah bekalan air di kawasan Merbok akan selesai," jelasnya.

Jelas Badrol Hisham, kawasan Merbok tidak wajar dibiarkan untuk terus bergantung dengan sumber air bawah tanah semata-mata dan keperluan pengguna akan terus terjejas sekiranya musim kemarau melanda di sana.

Justeru itu, beliau menegaskan bahawa penambahbaikan loji air di Gurun merupakan satu langkah yang tepat untuk memastikan masalah bekalan air di Merbok pulih sepenuhnya.

Sementara itu, bagi mengatasi masalah bekalan air di Merbok dalam tempoh terdekat, Badrol Hisham menjelaskan bahawa pihaknya telah meminta SADA meningkatkan kekerapan lori membawa bekalan air ke kawasan yang dikenal pasti terjejas.

Katanya, SADA telah diarah untuk lebih kerap memantau keadaan di sana selain berkomunikasi rapat dengan penduduk tempatan untuk memudahkan bekalan air dapat disalur dengan cara yang lebih berkesan.

"Untuk masa terdekat ini kita menggesa SADA kena tingkatkan kekerapan lori membawa bekalan air ke kawasan kritikal di Merbok.

"Saya minta depa bincang dengan penduduk tentang jadual penghantaran air dan sebagainya bagi memudahkan bekalan air dapat disalurkan kepada kawasan terjejas di sana," katanya.

Badrol Hisham ditemui Kedahnews.com ketika hadir ke majlis Sambutan Hari Air Sedunia 2017 peringkat negeri Kedah yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Aman Central di sini, petang semalam. - Kedahnews.com