Kereta Terbabas Rempuh Kedai Makan Di Stesen Bas Lama Sg Petani


SUNGAI PETANI - Seorang pekerja dan pelanggan nyaris maut  apabila sebuah kereta dinaiki oleh seorang lelaki terbabas dan merempuh masuk ke dalam sebuah kedai makan berdekatan stesen bas lama, di Jalan Petri, di sini, petang semalam.

Kejadian itu, didapati berlaku, kira-kira jam 4.30 petang itu, orang ramai yang berada dalam sebuah kedai makan didapati terkejut apabila secara tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju terbabas dan memasuki kawasan kedai berkenaan.

Kejadian ini disahkan oleh Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa.

Menerusi satu kenyataan Md Zukir berkata, kejadian itu melibatkan tiga kenderaan iaitu dua kereta dan sebuah kereta sewa.

Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, dipercayai kereta yang dipandu Roslee Md Isa, 59, dari arah Bakar Arang menuju ke Pekan Sungai Petani dilanggar oleh  sebuah kereta Myvi dipandu oleh  Francis Anthony,48, dari arah belakang.

“Didapati, kereta Myvi berkenaan didapati cuba mengelak ke kanan sebelum melanggar sebuah kereta sewa diparkir tepi jalan berdekatan kedai makan berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta Myvi dan kereta sewa berkenaan didapati terlajak masuk ke dalam kedai berkenaan serta melanggar seorang pelanggan warga asing berada di situ,"katanya.

Bagaimanapun, katanya, kedua warga asing berusia 34 dan 50 tahun  iaitu pekerja dan pelanggan kedai itu tidak mengalami kecederaan serius cuma cedera ringan di bahagian kaki dan dahi dan mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59 kerana gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan,"katanya.

Sumber: Sinar Harian